Rabu, 1 Februari 2012

DAP kecam tindakan letak kepala babi di masjid

Roketkini.com


KUALA LUMPUR: DAP mengecam keras perbuatan meletakkan kepala babi di Masjid Nurul Iman di Batu 17, Rawang, Selangor, dengan menyifatkannya sebagai tindakan pengecut dan provokasi sentimen perkauman dan agama menjelang pilihan raya umum.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang mengutuk insiden itu, berpendirian bahawa tidak ada ruang di Malaysia bagi tindakan-tindakan yang sia-sia dan menjijikkan seperti itu kerana ia bertentangan dengan sifat masyarakat yang aman dan berbilang budaya.

“Kami menyeru supaya rakyat Malaysia bertenang dan tidak bertindak balas kerana tindakan ini jelas dilakukan oleh pihak-pihak tertentu dengan motif yang jahat.

“Namun demikian, mereka tidak akan mencapai objektif jahat mereka kerana rakyat Malaysia bukan sahaja sudah biasa hidup bersama malah suka meraikan kepelbagaian budaya dan agama di negara kita.

“Keamanan masyarakat kita tidak akan hancur dek tindakan-tindakan pengecut oleh puak pelampau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, DAP menyeru semua pihak bersatu untuk mengutuk penodaan dan pengotoran mana-mana tempat beribadat, sama ada masjid atau gereja atau kuil, dan berharap agar pihak kerajaan menyiasat dan mengambil tindakan yang sewajarnya segera. – Roketkini.com

Tiada ulasan: