Selasa, 14 Februari 2012

Bakar gereja: Hukuman dua beradik dikurangkan


MALAYSIA KINI

Mahkamah Rayuan hari ini mengurangkan hukuman penjara dua beradik yang didapati bersalah membakar Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati dua tahun lalu.

Ketika mengekalkan keputusan bersalah yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, panel hakim Mahkamah Rayuan sebulat suara memutuskan bahawa tempoh lima tahun penjara adalah "berlebihan" dan mengurangkannya kepada dua tahun.

Hakim Datuk Wira Low Hop Bing, yang mempengerusikan panel tiga anggota itu, berkata bahawa tertuduh - penghantar surat Raja Muhammad Faizal, 25, dan Raja Muhammad Idzham, 23, seorang pekerja bank - adalah pesalah kali pertama dan masih muda semasa melakukan kesalahan itu.

Katanya, mahkamah juga mengambil kira bahawa tidak ada kemalangan jiwa berlaku semasa kejadian.

"Kami berpendapat bahawa hukuman penjara adalah perlu tetapi tempoh lima tahun adalah berlebihan," katanya.

Hakim Low kemudiannya memerintahkan mereka menjalani hukuman berkuatkuasa
hari ini.

Dua hakim lain dalam panel yang mendengar rayuan hari ini ialah Datuk Abdul Malek Ishak dan Datuk Ramly Ali.

"Kedua-dua mahkamah bawahan sebelum ini (Sesyen dan Mahkamah Tinggi) telah dengan betul menimbangkan prinsip keterangan sokongan di mana kedua-duanya mempunyai niat bersama dalam melakukan perbuatan jenayah," kata Low.

NONEBeliau berkata mahkamah juga mengambil kira tidak seorang pun cedera akibat perbuatan mereka itu, dan kerajaan membelanjakan RM500,000 dalam membaik pulih gereja berkenaan.

Hakim Low menegaskan bahawa mahkamah perlu mengimbangkan di antara kepentingan orang ramai, yang mana dalam kes jenayah memerlukan hukuman bagi mencegah, namun pada waktu sama kepentingan tertuduh juga tidak semestinya diketepikan.

Pada 13 Ogos 2010, kedua-dua mereka dijatuhi hukuman penjara lima tahun seorang setelah didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur melakukan perbuatan jahat dengan membakar gereja di Jalan 4/4c, Desa Melawati pada 11.50 malam 7 Jan 2010.

Tiada ulasan: