Sabtu, 25 Februari 2012

95% penduduk S’wak dapat bekalan elektrik menjelang 2013

Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan untuk kontrak Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) bernilai RM1.7 bilion.



KUCHING: Sebanyak 95 peratus daripada jumlah penduduk luar bandar di Sarawak akan menikmati kemudahan bekalan elektrik menjelang tahun 2013.

Menteri Kemudahan Awam Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, setakat ini kira-kira 70 peratus penduduk di luar bandar telah dibekalkan dengan kemudahan elektrik.

“Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan untuk kontrak Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) bernilai RM1.7 bilion di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) di negeri ini untuk tempoh tiga tahun dan setakat ini, RM1.2 bilion sudah diterima,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas perasmian Projek BELB di Kampung Tarat Mawang, Tarat Sibala dan Tarat Melawi, Kampung Mawang dan Kampung Bunga di Dewan Kampung Tarat, Sibala, Serian.

Kata Tengah, projek itu merangkumi bekalan elektrik alternatif seperti tenaga solar, mini hidro dan sambungan kepada grit-grit utama elektrik.

“Kita harus menyedari bahawa, tidak semua bekalan elektrik terutamanya di pedalaman itu dapat disambungkan menggunakan grit elektrik, maka bekalan elektrik alternatif ini harus diambil kira,” ujarnya.

Tengah berkata, arahan secara umum telah diberikan kepada pihak Sesco dan syarikat kontraktor terlibat untuk mengkaji kemungkinan untuk memasang tiang elektrik di tepi sungai di kawasan lain memandangkan ada sesetengah kawasan kampung masih belum mempunyai sambungan jalan raya.

“Ada beberapa kampung di kawasan Daro dan Limbang dijalankan projek pemasangan tiang elektrik di tepi sungai ini,” kata beliau yang juga Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar II.

Dalam pada itu, katanya projek luar bandar seperti BELB ini seharusnya mendapat kerjasama daripada semua penduduk kampung agar projek yang dirancang tidak tergendala.

6,000 kampung di Sarawak


“Sarawak mempunyai kira-kira 6,000 buah kampung dan ia menjadi cabaran kepada kerajaan untuk membawa pembangunan kerana setiap penempatan kampung itu berselerak dan tidak semua projek itu dapat dilaksanakan dalam tempoh sama,” katanya.

Tambahnya, sokongan dan kerjasama daripada penduduk kampung amat diperlukan agar objektif kerajaan untuk membawa perubahan transformasi pembangunan tercapai.

“Pada tahun 60an, kira-kira 70 peratus daripada penduduk Sarawak direkodkan terdiri daripada penduduk miskin, sekali gus meletakkan negeri ini antara tiga buah negeri termiskin di Malaysia,” ujarnya.

Bagaimanapun pada hari ini katanya, kira-kira empat peratus sahaja daripada penduduk Sarawak masih lagi dikategorikan miskin.

“Kerajaan Barisan Nasional (BN) membawa politik pembangunan untuk membawa perubahan transformasi kepada rakyat agar kita dapat meningkatkan kehidupan ke peringkat lebih baik,” tegasnya.

Terdahulu, Tengah berkata, projek BELB Kampung Tarat Mawang, Tarat Sibala dan Tarat Melawi, Kampung Mawang dan Kampung Bunga bernilai RM2.9 juta dengan purata perbelanjaan untuk satu sambungan, kira-kira RM20,000.

“Projek ini memberi faedah kepada 136 buah keluarga yang terdiri daripada 700 orang penduduk daripada lima buah kampung terlibat,” katanya sambil memberitahu projek itu telah siap sepenuhnya pada pertengahan tahun lalu.

Hadir sama, Ahil Dewan Undangan Negeri (Adun) Tarat, Datuk Roland Sagah Wee Inn, Setiausaha Tetap Kementerian Kemudahan Awam, Haji Ubaidillah Abdul Latip dan Residen Bahagian Samarahan, Haji Ismail Haji Anis.

Tiada ulasan: