Rabu, 22 Februari 2012

26 NGO Pahang bantah Himpunan Hijau 2.0

MALAYSIA KINI
Sebanyak 26 badan bukan kerajaan di Pahang membantah Himpunan Hijau 2.0 yang didalangi pembangkang yang menentang operasi syarikat Lynas Advance Material Plants yang telah diberikan lesen beroperasi sementara.

Jurucakap semua NGO itu, Wan Emril Nizam Wan Embong, berkata himpunan yang dirancang diadakan di Padang Majlis Perbandaran Kuantan 1 di Kuantan pada Ahad ini, akan menimbulkan masalah keselamatan dan ketenteraman awam.

"Satu laporan polis dibuat hari ini bagi pihak 26 badan bukan kerajaan di Pahang yang mempunyai keahlian lebih 50,000 orang bagi membantah perhimpunan berkenaan," katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan hari ini.

Wan Emril Nizam, yang juga Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Pahang, berkata pelbagai penerangan telah dibuat oleh kerajaan mengenai operasi kilang itu yang telah diakui selamat oleh pakar-pakar dalam bidang berkenaan.

"Perhimpunan itu lebih bermotifkan politik dan hanya mahu menggugat soal keselamatan dan ketenteraman awam," katanya.

Beliau berkata majoriti penduduk di sekitar Kuantan tidak bersetuju dengan penganjuran himpunan itu kerana ia menimbulkan rasa kurang selesa selain akan turut memberi gambaran negatif kepada pihak luar.

Ketua Penerangan PERKASA Pahang Muhammad Faiz Hashim pula berkata perhimpunan berkenaan bermotifkan politik semata-mata.

"Kita perlu dengan cakap pakar dan jangan dengar dakwaan oleh pihak-pihak yang kurang mahir mengenai perkara berkenaan," katanya.

Muhammad Faiz berkata Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) sebelum ini telah menegaskan bahawa keputusan meluluskan pemberian lesen kendalian sementara kepada syarikat Lynas dibuat selepas mengambil kira semua aspek.

Katanya Ketua Pengarah AELB, Datuk Abdul Aziz Raja Adnan telah menjelaskan bahawa antara perkara yang diberi perhatian ialah aspek keselamatan, standard dan peraturan serta garis panduan yang ditetapkan termasuk di peringkat antarabangsa.

"Jadi operasi syarikat itu akan dikawal rapi memandangkan lesen itu adalah sementara dan bukannya lesen terbuka kepada Lynas Advanced Materials Plant untuk beroperasi di Gebeng, " katanya. Bernama

Tiada ulasan: