Sabtu, 11 Februari 2012

2 ADUN dicabar saman Raja Petra

MALAYSIA CHRONICLE

KUALA LUMPUR – Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor, Shuhaimi Shafie dan Amiruddin Shari dicabar menyaman pengendali portal berita Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin sekiranya dakwaan pembabitan mereka dalam skandal rasuah pasir di negeri itu tidak benar.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Selayang, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, tindakan tersebut perlu dilakukan segera bagi membuktikan kedua-dua wakil rakyat daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu tidak terlibat sekali gus membersihkan integriti dan nama baik mereka.

“Shuhaimi yang suatu ketika dahulu lantang bersuara dalam isu rasuah pasir di Selangor perlu tampil membela diri dengan memberi penjelasan bagi menafikan penglibatan beliau dalam isu tersebut.

“Ini sekali gus dapat membersihkan nama beliau selaku pemimpin masyarakat, bukan mengalih perhatian rakyat dengan menghentam Raja Petra di dalam blognya.

“Saya juga ingin menasihatkan Amiruddin supaya tidak membuat sindrom sepi atau membisu. Beliau perlu berani ke depan membuat kenyataan bagi membersihkan keadaan, bukannya menghilangkan diri,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.-Utusan

Tiada ulasan: