Sabtu, 18 Februari 2012

1Care: Kerajaan lepas tangan kepada rakyat

KEADILAN DAILY

KUALA LUMPUR : DAP menyifatkan kerajaan cuba melepaskan tanggungjawabnya kepada rakyat dengan memperkenalkan skim penjagaan kesihatan nasional 1Care.

“Dengan meningkatkan perbelanjaan penjagaan kesihatan, kerajaan melepaskan tanggungjawab membayarnya kepada rakyat yang sudah dibebani dengan kenaikan kos sara hidup dan gaji yang tidak dinaikkan.

“Malah, 34% pekerja Malaysia hidup dalam kemiskinan tegar. Bagaimana mereka akan membayar untuk penjagaan kesihatan?”, kata Senator S. Ramakrishnan dalam satu kenyataan.

Menurutnya, melalui skim ini, 10 peratus daripada gaji pekerja setiap bulan akan diberikan kepada agensi pengurus dana kesihatan yang dilantik oleh kerajaan.

Sedangkan, katanya, kementerian Kesihatan mendapat peruntukan sebanyak RM17 bilion melalui bajet 2012 untuk menyediakan penjagaan kesihatan.

Laporan Ketua Audit Negara juga mendapati sebanyak RM5.51 bilion dibelanjakan ke atas pembayaran yang tiada dalam senarai disebabkan pembelian barangan dan perkhidmatan yang berkualiti rendah, kecuaian dan cukai kerajaan yang tidak dikutip.

“Projek-projek hospital seperti pembinaan hospital Shah Alam bernilai RM482 juta yang terbengkalai masih diberikan kepada kroni Umno melalui rundingan terus.

“Namun, kerajaan tidak mempunyai dana untuk menyediakan penjagaan kesihatan yang sempurna kepada rakyat Malaysia,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, beliau merujuk laporan organisasi antarabangsa WHO yang meletakkan Malaysia di tangga 151 daripada 193 negara dalam perbelanjaan penjagaan kesihatan di antara tahun 2000-2005.

Beliau berkata, perbelanjaan penjagaan kesihatan negara yang hanya sekitar 4-5% daripada KDNK setiap tahun, menandakan Malaysia adalah antara negara yang kurang melabur untuk kesihatan rakyat.

“Pencapaian sistem kesihatan dan prestasi Malaysia adalah pada kedudukan 89 daripada 191 negara. Oleh itu, kita mesti melabur dan meningkatkan produktiviti dan kecekapan dalam sistem perkhidmatan kesihatan,” kata beliau.

Tiada ulasan: