Khamis, 23 Jun 2011

Waris P Ramlee mahu tuntut royalti RM200 juta

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Waris Tan Sri P Ramlee mahu menuntut royalti, dipercayai mencecah RM200 juta, daripada bekas majikan seniman agung itu hasil bayaran tayangan filem lakonannya menerusi televisyen, termasuk stesen berbayar, lapor media tempatan hari ini.

Setakat ini, waris P Ramlee hanya menerima royalti daripada lagu Allahyarham, termasuk RM200,000 yang dibayar syarikat rakaman dan Persatuan Perlindungan Hak Cipta Muzik Malaysia (MACP), pada tahun lalu.

Sehubungan itu, waris Allahyarham melantik peguam, Datuk Hamzah Mohd Kassim bagi mengendalikan urusan berkaitan usaha mendapatkan imbuhan daripada bekas majikan P Ramlee itu, lapor Berita Harian hari ini.

Bagaimanapun, Hamzah mengakui tiada undang-undang jelas berkaitan royalti antara P Ramlee dengan Shaw Brothers, ketika Allahyarham menjadi pelakon di syarikat berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, Shaw Brothers mempunyai tanggungjawab sosial untuk memberikan bayaran kepada waris P Ramlee.

“Saya sudah mendapatkan pandangan pakar perundangan dan kami mempunyai ruang mendapatkan sejumlah royalti,” katanya selepas majlis pelancaran Jejak Warisan P Ramlee di Rumah Kelahiran P Ramlee di George Town, Pulau Pinang semalam.

Pelancaran disempurnakan Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang Datuk Seri Mohd Yusoff Latiff.

Hamzah berkata, pihaknya sudah membuat kajian mengenai perkara itu dan berjumpa beberapa rakan Allahyarham serta mendapatkan pandangan pakar undang-undang.

Namun, beliau tidak dapat menyatakan jumlah tepat pendapatan diperoleh Shaw Brothers hasil tayangan filem lakonan P Ramlee melalui televisyen, tetapi menjangkakan mencecah RM200 juta.

“Saya difahamkan, dalam tempoh tiga tahun lalu saja syarikat itu dibayar RM20 juta oleh Astro,” katanya yang menyasarkan royalti sebanyak 20 peratus diberikan kepada waris Allahyarham.

Mengenai maklum balas Shaw Brothers, Hamzah berkata, pihaknya akan berunding dengan syarikat itu selepas mendapat semua maklumat berkaitan.

Tiada ulasan: