Khamis, 23 Jun 2011

Anwar minta kerajaan beku segera jaminan dan usaha penerbitan bon 1MDB

MERDEKA REVIEW

Perdana Menteri telah mengumumkan 1MDB mencatat keuntungan RM425 juta pada tahun pertama operasinya yang berakhir 31 Mac 2010 tanpa memberi sebarang butiran bagaimana keuntungan ini diperolehi.

Walau bagaimanapun apabila disemak penyata kewangan enam bulan pertama 1MDB hingga 30 September 2010 menunjukkan 1MDB mengalami kerugian sebanyak RM158.3 juta dan kos operasinya untuk 6 bulan mencecah RM20.5 juta.

Kita sangsi pengumuman keuntungan 1MBD oleh PM, kerana difahamkan penyata kewangannya menunjukkan keuntungan yang diperolehi bukan hasil pelaburan atau operasi perniagaan sebenar tetapi melalui suatu proses yang dikenal sebagai "paper shuffling".

Adalah difahamkan bahawa 1MDB memperolehi keuntungan sebanyak RM615 juta hasil jualan balik pelaburan yang dibuat tidak sampai lima bulan. Pelaburan ini melibatkan usahasama dengan PetroSaudi International Limited dikenali sebagai 1MDB PetroSaudi Limited dengan pelaburan berjumlah RM3.5 billion yang dibayar secara tunai. 1MDB menjual semula pelaburannya dalam 1MDB PetroSaudi Limited kepada penjual asal PetroSaudi International Limited dengan harga RM4.1 billion menyebabkan 1MDB memperolehi keuntungan sebanyak RM615 juta. Transaksi penjualan pelaburan ini dibuat pada 31 Mac 2010 iaitu hari penutup akaun tahunan 1MDB.

Bayaran pelaburan yang dibuat oleh 1MDB sebanyak RM3.5 billion kepada PetroSaudi International Limited secara tunai. Walau bagaimana pun bayaran oleh PetroSaudi International Limited kepada 1MDB kerana membeli balik pelaburan yang dibuat dengan harga RM4.1 billion dibuat secara ansuran selama 11 tahun. Ini bermakna bayaran akan langsai hanya pada 31 Mac 2023.

Persoalannya apa jaminan 1MDB akan memperolehi semula wang tunai RM3.5 billion yang dilaburkan dalam usahasama 1MDB PetroSaudi Limited bersama keuntungan RM615 juta hasil jualan balik pelaburan tersebut kepada PetroSaudi International Limited dengan harga RM4.1 billion?

Menurut laporan audit yang dibuat oleh KPMG ke atas akaun 1MDB yang berakhir 31 Mac 2010 –

"The Group and the Company held notes receivable amounting to RM4,139,125,000 as at 31 March 2010. A valuation was performed by an independent financial advisory firm to support the assessment of the appropriateness of the carrying value of the notes receivable as at 31 March 2010. This valuation was carried out based on certain sets of assumptions. It should be noted that these assumptions are critical to the result of the assessment. The notes receivable are backed by a corporate guarantee issued by the ultimate holding company of 1MDB PetroSaudi Limited, PetroSaudi International Limited PSI). Management believes that PSI is in good financial standing and has the ability to meet all obligations required as documented in the Corporate Guarantee Agreement".

Kenyataan juruaudit KPMG ini jelas menunjukkan hanya pihak pengurusan 1MDB sahaja yang mengesahkan PetroSaudi International Limited mempunyai kedudukan kewangan yang baik sedangkan KPMG sendiri tidak dapat memberi kepastian kedudukan sebenar kewangan PetroSaudi International Limited dan samaada hutang RM4.1 billion yang tertunggak dapat diperolehi dari mereka.

Syarikat PetroSaudi dan syarikat-syarikat sekutunya pula diperbadankan di Cayman Islands dan British Virgin Islands. Maka segala maklumat kedudukan kewangan dan transaksi syarikat mereka akan terselindung dari pengetahuan umum.

Saya khuathir 1MDB PetroSaudi Limited dan PetroSaudi International Limited bukan Syarikat operasi minyak sebenar atau Syarikat yang dimiliki oleh individu atau organisasi atau kerajaan dari Arab Saudi. Ia merupakan saluran untuk menggelap wang pinjaman melalui pengeluaran bon 1MDB yang dijamin oleh kerajaan untuk kegunaan pihak tertentu samaada organisasi politik, syarikat, kumpulan atau individu tertentu.

Oleh kerana pengeluaran bon oleh 1MDB dijamin oleh kerajaan dan wang tunai sebanyak RM3.5 billion telah dilaburkan dalam 1MDB PetroSaudi Limited dan bayaran jualan balik pelaburan sebanyak RM4.1 billion dibuat secara ansuran selama 11 tahun daripada PetroSaudi International Limited, maka saya pohon kerajaan membentangkan penyata kewangan 1MDB PetroSaudi Limited dan PetroSaudi International Limited dalam Dewan ini.

Saya percaya kerajaan dan 1MDB berupaya memperolehi semua ini kerana bagaimana mereka dapat membuat keputusan melabur secara tunai RM3.5 billion dalam 1MDB PetroSaudi tanpa menilai kedudukan kewangan mereka? Dan bagaimana pula kerajaan boleh memberi jaminan atas penerbitan bon 1MDB tanpa rujukan kepada penyataan kewangan dalam syarikat mereka melabur?

Saya menggesa Jawatankuasa Audit Parlimen dan Jabatan Audit Negara mengambil langkah segera menyiasat transaksi kewangan 1MDB. Kerajaan juga diminta membeku segera segala jaminan dan usaha penerbitan bon yang dicadangkan oleh 1MDB sehingga siasatan menyeluruh dijalankan terhadap perolehan dan transaksi 1MDB. Kerajaan juga digesa menahan serta menarik balik pada kadar segera segala jaminan yang dikeluarkan untuk 1MDB.

*Kenyataan media oleh Anwar Ibrahim (gambar kiri) selaku Ketua Pembangkang Dewan Rakyat Malaysia.

Tiada ulasan: