Ahad, 19 Jun 2011

Umno cuba monopoli, MP Khalid Samad ‘berat hati’ sertai misi Gaza


KUALA LUMPUR — Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad mengakui beliau “berat hati” untuk menyertai misi keselamatan membantu rakyat Palestin selepas mendapati Umno cuba memonopoli program murni itu.

Justeru beliau yang akan mewakili ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat berkata perkara tersebut akan dibincangkan terlebih dahulu bersama kepimpinan perikatan itu untuk memutuskan sama ada menarik diri ataupun sebaliknya.

Mengakui telah memasang niat menyertai sejak misi yang pertama tahun lalu, Khalid (gambar) berkata, kini “berat hati” setelah Umno memonopoli program itu yang turut menggugurkan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) pro-Pakatan Rakyat ke Palestin.

“Saya masih memikirkan hal ini kerana rasa berat hati untuk tarik diri. Saya akan berbincang dengan sahabat-sahabat PAS lain untuk membuat keputusan selanjutnya,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Selain Khalid, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin turut akan menyertai misi itu.

Seramai 10 rakyat Malaysia termasuk dua wakil media akan turut sama dalam pasukan Lifeline4Gaza (LL4G) kali kedua ke Gaza yang dikenali sebagai “International Freedom Flotilla II”.

Misi tersebut yang dijangka memulakan pelayaran ke Gaza pada 27 atau 28 Jun bertemakan “Pertahankan Kemanusiaan” dan akan disertai 13 kapal antarabangsa — 10 kapal penumpang dan tiga kapal kargo.

Misi itu untuk menghantar bantuan kemanusiaan, turut akan memberi tekanan kepada Israel supaya menamatkan sekatan ekonomi terhadap penduduk Palestin khususnya di Gaza.

Mengulas lanjut, tegas Khalid, beliau kesal dengan tindakan Umno-BN yang cuba mengambil kesempatan daripada misi itu sehingga melupakan tujuan utama program tersebut.

Ahli jawatankuasa kerja PAS pusat itu juga mendakwa Umno-BN mempunyai agenda tertentu ekoran beberapa NGO propembangkang digugurkan ketika Majlis Pelancaran Pasukan LL4G Malaysia yang diadakan di Stadium Badminton Cheras malam tadi.

Majlis itu dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Tambah Khalid, antara NGO propembangkang yang digugurkan daripada menyertai misi itu adalah Aman Palestin dan Cakna Palestin, wakil dari Kelantan.

“Sepatutnya isu berkaitan Palestin adalah isu bersama dan umat Islam perlu bersatu, saya dukacita kerana Umno-BN tidak menunjukkan keikhlasan untuk buat program ini kerana mereka sedar Pakatan Rakyat dan NGO daripada Pakatan Rakyat turut serta dan mengumpulkan semua pihak dan bersatu dalam misi ini.

“Jelas Umno-BN ada agenda untuk merencanakan sesuatu untuk ambil alih program sehingga wakil PAS iaitu Timbalan Presiden kami, Mohammad Sabu digugurkan daripada berucap ketika majlis malam tadi.

“Tindakan Umno-BN ini juga dilihat mahu membersihkan nama selepas pendedahan APCO, jadi mereka mahu jadi hero di mata rakyat dan ambil kesempatan asalkan niatnya tercapai,” katanya.

Sepatutnya Mohamad atau “Mat Sabu” memberikan pidato pada majlis pelancaran malam tadi namun dibatalkan di saat-saat akhir.

Mohamad pada sidang media pagi ini mendakwa pentadbiran Najib dan parti pimpinannya Umno cuba “memonopoli” misi kemanusiaan kedua bagi membantu rakyat Palestin.

Acara pidato yang sepatutnya menjadi sebahagian daripada pelancaran program itu yang turut menampilkan Mohamad dibatalkan, dipercayai mendapat tekanan Pejabat Perdana Menteri.

Tiada ulasan: