Aziz Muda |
KUALA LUMPUR: Sebuah syarikat bumiputera, Harian Inovatif Sdn Bhd (HISB) terus menjadi mangsa janji-janji manis pemimpin Umno BN, apabila masih gagal mendapatkan pembayaran semula wang yang dikeluarkan untuk menjayakan Kejuaraan Silat Sedunia Ke-13 di Stadium SUKPA, Kuantan, Pahang pada 21 hingga 27 Oktober 2007 lalu. Lebih dikesali lagi, pihak-pihak terbabit ternyata tidak memandang serius perkara itu walaupun ia melibatkan jumlah tunggakan cukup besar sebanyak RM1.127 juta, walaupun telah berlarutan sejak empat tahun lalu. Pengerusi Eksekutif Kumpulan HISB, Raja Norasmah Raja Shahrom Saidee menjelaskan, sehingga kini pelbagai usaha telah dilakukan oleh pihaknya termasuk bertemu dengan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakub dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek. Menurut beliau, terbaru pada 18 Mei lalu, pihak HISB telah diberi tarikh dan masa untuk bertemu Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) yang juga Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam di pejabatnya, tetapi pada pagi hari itu, ibu mertua salah seorang Adun telah meninggal dunia. Katanya, Mohd Ali telah menziarahi kematian tersebut dan dengan itu temujanji tersebut tidak dapat ditunaikan kerana waktu telah lewat dan mesyuarat Exco telah diberi keutamaan, manakala pihak HISB hanya dapat menyerahkan dokumen tuntutan kepada Setiausaha Sulit beliau, Syueeb Zahari untuk tindakan selanjutnya. "Tetapi hal ini tidak dipandang serius oleh pihak yang berkenaan. Ini menyebabkan syarikat bumiputera terasa dianiaya oleh mereka kerana segala usaha murni kami tidak dihargai," katanya pada sidang akhbar yang diadakan di Mont Kiara, di sini, petang semalam. Walaupun pihak HISB telah memberikan kata putus untuk mengambil tindakan mahkamah, menurut beliau, pihak Pesaka tetap tidak menunjukkan sebarang reaksi positif. Katanya, sikap seperti itu jelas ditunjukkan oleh pihak-pihak terbabit sejak selepas persidangan media yang diadakan oleh HISB dan berita mengenainya tersiar di media pada 31 Disember 2009 lalu. "Semenjak dari itu, pihak HISB telah beberapa kali menghantar surat dan memohon temujanji dengan pihak Pesaka, malah telah menulis surat kepada kementerian-kementerian terbabit semasa kejuaraan tersebut, namun kami gagal mendapat apa-apa maklum balas mengenainya," katanya. Pihak HISB, ujarnya, amat kecewa dengan sikap segelintir pihak yang tidak memandang serius perkara itu hanyalah kerana mereka adalah sebuah syarikat bumiputera yang kecil. "Jika keadaan ini berterusan, sukarlah sukan di Malaysia ini hendak berkembang maju, sedangkan Kerajaan BN sering mewar-warkan slogan 'Majulah Sukan Untuk Negara', tetapi nasib orang yang memajukan nama baik negara tidak dihiraukan," jelasnya. Kejuaraan Silat Sedunia Ke-13 pada 2007 lalu telah berlangsung dengan jayanya di Stadium SUKPA, sempena meraikan Hari Keputeraan Sultan Pahang pada ketika itu, dengan disertai 36 buah negara dan melibatkan lebih 600 peserta dan pegawai dari seluruh dunia. Ia merupakan platform yang baik bagi melahirkan pesilat-pesilat yang berpotensi untuk terus diketengahkan, di samping budaya sukan dan kesenian yang terdapat di dalam ilmu persilatan itu dipertahankan, diperkembangkan dan diwarisi sebaik mungkin. Dalam kejuaraan itu, sebanyak 24 pingat telah dipertandingkan yang terdiri daripada 18 pingat dari katergori Silat Olahraga dan 6 pingat dari kategori Silat Seni. Acara berprestij itu telah dianjurkan bersama Kerajaan Negeri Pahang dan Pesaka dengan kerjasama HISB serta mendapat pengiktirafan dari kementerian-kementerian kerajaan seperti Kementerian Kesenian, Kebudayaan dan Warisan (KEKKW), Kementerian Pelancongan dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS). Kejuaraan itu juga telah mendapat restu Sultan Haji Ahmad Shah dan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang juga selaku penaung kejuaraan tersebut ketika itu. "HISB merupakan sebuah syarikat milik penuh bumiputera yang dipilih dan telah diberi kepercayaan untuk menjadi penganjur bersama kejuaraan itu, bagi memastikan acara silat bertaraf dunia itu dapat dilaksanakan dengan penuh meriah, berjaya dan gemilang. "Acara berprestij itu menelan belanja lebih RM1 juta dan HISB adalah pihak yang mendahulukan segala kos perbelanjaan secara tunai, setelah dipersetujui oleh Urusetia Kejuaraan dalam mesyuarat Jawatankuasa Induk. "Semua pembayaran yang telah dijelaskan oleh HISB bersesuaian dengan perkara-perkara yang melibatkan kejuaraan itu akan dijelaskan semula oleh Urusetia Kejuaraan Silat Sedunia ke-13 pada 2007," katanya. HISB berharap agar perkara itu dapat diselesaikan segera kerana jika hal ini berlanjutan, katanya, lebih banyak lagi syarikat bumiputera yang akan teraniaya dengan janji manis pelbagai pihak yang hanya suka berjanji tetapi tidak seperti yang diharapkan. Turut hadir pada sidang media itu, Pengarah Urusan Kumpulan HISB, Mohd Fairuz Mohd Yusof dan peguam HISB, Ramesh Kanapathy. |
Khamis, 23 Jun 2011
Tunggakan RM1.127j: HISB jadi mangsa Umno
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan