Rabu, 22 Jun 2011

Syabas gagal selenggara air dengan baik

Exco Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Elizabeth Wong menafikan wujud masalah kekurangan air di Selangor.



SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor kesal dengan gangguan bekalan air sementara yang berlaku di beberapa wilayah negeri itu sambil menyifatkan tindakan tersebut disebabkan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) gagal untuk membuat penyelenggaran dengan baik.

Exco Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Elizabeth Wong menafikan wujud masalah kekurangan air di Selangor.

“Kenyataan Syabas hari ini yang menyalahkan rundingan penstrukturan semula aset air adalah tidak tepat. Memandangkan penstrukturan aset air itu telah dijalankan sejak tahun 1997.

“Syabas gagal menjalankan kerja-kerja naik taraf loji seperti yang sepatutnya. Tunggu hari ini baru hendak buat…dan mereka jadikan penstrukturan aset air ini sebagai alasan.

“Kerajaan Negeri kesal dengan gangguan air yang berlaku di beberapa daerah. Disebabkan masalah ini satu juta penduduk di kawasan berkenaan turut terjejas gara-gara Syabas tidak menjalankan naik taraf seperti yang sepatutnya.

“Dakwaan bahawa masalah ini timbul disebabkan Selangor kekurangan air adalah tidak benar,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat mingguan Exco di sini hari ini.

Menurut Elizabeth simpanan air di beberapa empangan negeri itu dalam keadaan baik dan mampu menampung penggunaan air semasa penduduk negeri itu.

Keupayaan Syabas perlu dinilai semula

Maka beliau menyeru Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi dibawah Datuk Shaziman Abu Mansor agar menilai semula kecekapan dan keupayaan Syabas.

“Simpanan air di Selangor masih ditahap yang tinggi iaitu 100 peratus mengikut Lembaga Urus Air Selangor (Luas) pada 21 Jun 2011.
Malah Kerajaan Negeri akan tetap berusaha memastikan bekalan air yang mencukupi kepada semua.

Pada tahun ini, kami telah memeriksa dan memastikan semua empangan dalam keadaan yang baik dan cukup untuk membekalkan sumber air kepada semua loji-loji pembersihan air di Selangor.

“Tambahan itu, Kerajaan Negeri telah membuat persediaan untuk menangani masalah sekiranya jangkaan musim kering atau fenomena El-Nino melanda Malaysia,” katanya.

Gangguan bekalan air itu melibatkan beberapa kawasan di Kuala Lumpur, Gombak, Petaling dan Hulu Selangor bermula hari ini sehingga Jumaat.

Malah melalui laporan Bernama hari ini wilayah Petaling dan Sepang akan mengalami gangguan bermula dari 9 malam hari Selasa depan (28 Jun) hingga 9 pagi keesokannya (Rabu, 29 Jun).

Syabas dalam kenyataan hari ini berkata gangguan berkenaan bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembaikan paip bocor dan penggantian injap bersaiz 1,200 MM di Puchong Getaway.

Sementara itu, beliau turut mengumumkan perlantikan Pengarah Luas yang baru, Khairy Selamat yang pernah berkhidmat di Jabatan Pengaliran Selangor pada 2007-2008.

Tiada ulasan: