Selasa, 21 Jun 2011

Subsidi IPP: PAS dakwa kerajaan 'flip-flop'

Afiq Hizami, pelatih UKM


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub kecewa dengan kenyataan flip flop kerajaan berhubung isu subsidi kepada penjana tenaga bebas (IPP).

Beliau merujuk jawapan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Peter Chin Fah Kui terhadap soalannya yang didakwa bercanggah dengan kenyataan Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala.

Dalam soalannya, Salahuddin menanyakan berapakah cadangan jumlah pengurangan subsidi kerajaan kepada IPP dan ke manakah penjimatan itu akan dibelanjakan.

Dalam jawapan di Dewan Rakyat hari ini, Peter Chin bagaimanapun menafikan wujud cadangan pemotongan ataupun subsidi oleh kerajaan kepada IPP.

Sedangkan kata Salahuddin, Idris Jala sendiri sebelum ini secara terbuka mengakui kerajaan akan mengkaji semula pemberian subsidi kepada syarikat tersebut.

"Apabila saya bangkitkan perkara itu dalam soalan tambahan beliau dengan sengaja mengabaikan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Datuk Sri Idris Jala) dengan alasan bahawa tidak ada sebarang pemotongan atau tidak ada sebarang apa yang dikatakan subsidi oleh pihak kerajaan mahupun oleh pihak petronas kepada IPP," katanya pada sidang media di lobi parlimen hari ini.

Idris Jala sebelum ini memberi jaminan bahawa kerajaan akan mengkaji semula atau membuat pemotongan semula ke atas "subsidi" yang diberikan oleh Petronas kepada IPP.

Salahuddin yang juga Naib Presiden PAS, berkata pengumuman Idris Jala itu satu berita gembira apabila mahu mengkaji semula pemberian atau penganugerahan subsidi kepada IPP.

Namun jawapan yang diberikan oleh menteri katanya, telah menafikan secara langsung kenyataan yang pernah dinyatakan sebelum ini.

"Mereka hanya bermain dengan kata-kata kalau nak harga minyak naik mereka gunakan istilah 'mengstrukturkan kembali' maka keesokan harinya rakyat akan menunggu harga minyak akan naik.

"Ini tidak menggunakan istilah subsidi kononnya tapi menggunakan istilah "pelepasan pendapatan" oleh pihak Petronas," jelas beliau lagi.

Beliau menegaskan isu IPP ini penting bagi bagi khalayak memahami perkara yang sebenar iaitu menggesa pihak kerajaan supaya mengkaji semula tentang pemberian subsidi yang begitu mewah kepada pihak IPP ini.

Bagaimana pun, beliau mengatakan bahawa pada tahun 1997 bekas Pengerusi Eksekutif TNB, Tan Sri Ani Arope pernah mendedahkan terdapat lebihan tenaga sebanyak 50% dan pemberian subsidi berterusan ini yang telah didedahkan dari 1997 hingga 2010.

Justeru itu, beliau menegaskan IPP telah mendapat sebanyak RM49.3 bilion nilai subsidi iaitu sebanyak 42.3% dan angka itu merupakan satu jumlah sangat besar yang sepatutnya kerajaan perlu komited untuk menyemak semula penganugerahan subsidi ini kepada pihak IPP.

"Kalau tidak TNB akan berterusan mengunakan pendapatannya untuk membeli tenaga daripada IPP yang telah pun dinyatakan terdapat lebihan tenaga serta mengurangkan pendapatan TNB itu sendiri.

"Hasilnya rakyat tetap akan dikenakan bayaran yang lebih untuk tarif elektrik yang telah dinaikkan kepada 7.12% baru-baru ini.

"Sekiranya kerajaan tidak menyemak tentang perjanjian antara TNB dengan IPP ini, rakyat akan berterusan menghadapi masalah kenaikan tarif elektrik apabila setiap kali TNB mengemuka cadangan untuk menaikkan tarif tersebut,” katanya.

Tiada ulasan: