Lantas ia menimbulkan persoalan pengulas, adakah sembahyangnya sah?
KUALA LUMPUR: Satu adegan di dalam buku Kasino tulisan Saifullizan Tahir yang menggamit pemikiran pengulas ialah adegan di mana watak utamanya, Mohd Narcissus Yusof mengerjakan solat.
Anehnya solat dilakukan sejurus selepas Narcissus berkelamin . Ada juga adegan Narcissus mengerjakan solat dalam keadaan mabuk.
Ia menimbulkan persoalan kepada pengulas sama ada solat yang dilakukan itu adalah sah dan menurut hukum Islam.
Adakah Majlis Fatwa Kebangsaan akan mengemukakan fatwa larangan berkarya berikutan gambaran tersebut?
Adakah Gapena dan Pena, dua persatuan penulis terbesar negara akan mempertahankan kebebasan berkarya dan tidak membenarkan karya ini diubah walau sepatah kata?
Secara keseluruhannya novel ini melampaui batas faksyen kerana seringkali menamakan pakatan politik dengan seadanya.
Faksyen ialah gaya penulisan yang mencampur adukkan fakta dan fiksyen.
Umpamanya Pakatan Rakyat dipersalahkan apabila Narcissus kehilangan projek dan seterusnya perlu mendapatkan wang sejumlah 3.8 juta dalam tempoh 2 minggu manakala Barisan Nasional digambarkan sebagai pakatan politik yang memudahkan urusniaga.
Nama tokoh politik juga seringkali timbul, seperti Datin Seri Rosmah Mansor dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Adakah pihak-pihak yang dinamakan akan mengambil tindakan saman terhadap Saifullizan dan penerbit Fixi? Wallahualam.
Buku terbitan Fixi setebal 280 muka surat dan berharga RM18 ini mengisahkan bagaimana manusia terdesak boleh tiba ke kancah perjudian.
Dapat semula wang?
Adakah Narcissus boleh mendapatkan semula wangnya?
Persoalan ini hanya terjawab apabila anda membaca Kasino.
Penulis juga sempat berbual dengan Saifullizan.
“Satu-satunya novel yang telah dan akan saya tulis kerana saya sudah serik,” kata penulis novel Kasino tentang pengalaman menulis novelnya yang pertama.
Saifullizan serik kerana tempoh masa yang diambil untuk penulisan novel berbanding penulisan sajak, cerpen dan esei yang dihasilkannya sebelum ini.
“Kasino ditulis untuk orang macam saya kerana tiada penulisan yang memenuhi citarasa saya,”tambah arkitek lanskap yang menguruskan perniagaan pengurusan dan latihan di Damansara di ibu negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan