Naib Presiden KEADILAN, N Surendran berkata, sikap hakim Mohamad Zabidin Mohd Diah yang berat sebelah menguatkan bukti bahawa kes itu merupakan konspirasi dan perancangan politik.
Beliau mengulas permohonan peguam Anwar supaya Zabidin digugurkan dari kes tersebut. Ia merupakan kali ketiga pihak peguam Anwar memohon untuk menyingkirkan Zabidin sejak kes itu dibicarakan.
Menurut Surendran, Zabidin bertindak berat sebelah apabila membuat keputusan pra penghakiman dengan menyatakan saksi utama kes itu, Mohd Saiful Bukhari Azlan sebagai saksi berwibawa dan boleh dipercayai.
Zabidin, katanya telah membuat keputusan sebelum Anwar dihukum bersalah yang tidak melayakkannya untuk mendengar kes tersebut apabila perbicaraan bersambung.
“Hakim telah salah arahkan dirinya sendiri dalam menafsirkan perkataan prima facie di bawah seksyen 180(3) dan (4) Kanun Jenayah. Ini mengakibatkan peruntukan seksyen 182A(1) dan (2) Kanun Acara Jenayah menjadi sia-sia,” kata Surendran.
“Sangat jelas kesilapan undang-undang oleh tafsiran hakim. Saya ulangi ini adalah konspirasi dan perancangan rekaan Umno-BN. Cerita ini hanya kesinambungan kes Fitnah 1 ke Fitnah 2,” katanya.
Dalam perbicaraan sebelum ini, antara lain Saiful mengaku duduk selama 20 minit selepas kejadian liwat dikata berlaku sambil minum kopi dan memakan karipap.
Peguam juga mendedahkan bahawa Saiful bekerja seperti biasa pada keesokkannya hari nya dengan datang ke pejabat Keadilan malah ke rumah Anwar sendiri.
Saiful juga mengaku menemui ahli-ahli politik termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan menghubungi Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Musa Hassan.
Selain itu, beliau juga bertemu bekas atlet negara yang juga pembantu Datin Seri Rosmah Mansur, Datuk Mumtaz Jaafar dan bekas Ketua PemudaParti Keadila Nasional, Ezam Mohd Nor yang kini menyertai Umno.
Peguam Anwar sebelum ini menyifatkan kes tersebut sepatutnya digugur sejak dari awal. Anwar didakwa Seksyen 377 b atas kesalahan melakukan liwat dengan kerelaan, sedangkan laporan polis yang dibuat Saiful mendakwa hubungan seks yang dilakukan itu adalah tanpa kerelaannya.
Selain, itu berlaku banyak kepincangan sepanjang perbicaraan berlangsung. Antaranya kegagalan pendakwa memanggil doktor dari Hospital Pusrawi, Dr Mohd Osman Abdul Hamid untuk memberi keterangan sedangkan beliau merupakan doktor pertama yang memeriksa Saiful.
Kemudian berlaku banyak keterangan tidak konsisten dari saksi-saksi pendakwa. Contohnya keterangan pakar kimia dari Hospital Kuala Lumpur, Dr Seah Lay Hong yang mengakui kehadiran DNA lebih daripada seorang lelaki dalam dubur Saiful.
Satu lagi contoh kepincangan adalah pendedahan bahawa sampel DNA hanya diberikan kepada ahli kimia oleh pegawai penyiasat, DSP Jude Pereira selepas 97 jam, atau empat hari selepas tarikh kejadian liwat kononnya berlaku.
Bukti-bukti ini bagaimana pun tidak dijadikan pertimbangan untuk Zabidin menolak kes berkenaan.
Sandiwara panggil Najib Rosmah
Dalam pada itu, Surendran berkata peguam kemungkinan besar akan memanggil Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Isterinya, Datin Seri Rosmah Mansur sebagai saksi dalam kes itu.
Ia sepertimana yang berlaku pada kes fitnah 1, di mana Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad turut dipanggil sebagai saksi oleh pasukan peguambela.
Namun katanya beliau percaya pihak pendakwa sedaya upaya akan menghalang perkara itu berlaku.
“Sebelum ini pun bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir pernah dipanggil untuk memberi keterangan dalam kes fitnah pertama.
“Saya tak menolak kemungkinan Najib dan Rosmah akan turut dipanggil, tapi kita semua faham konsep perundangan di Malaysia.
“Pendakwa dan polis pasti akan berhujah atau memberi alasan untuk mengelakkan dari kedua individu ini diheret ke mahkamah,” kata Surendran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan