Rabu, 29 Jun 2011

Sepanduk solat hajat jadi mangsa vandalisme

Ismail Hashim

SHAH ALAM: Menjelang majlis solat hajat dan pidato khas yang bakal diadakan malam ini, beberapa sepanduk hebahannya menjadi mangsa vandalisme.

Objek yang menjadi sasaran penggemar vandalisme dan makhluk perosak itu adalah wajah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dan lambang-lambang parti dalam Pakatan Rakyat.

Sepanduk pertama yang dikenal pasti dikoyakkan dengan kesan torehan adalah di Jalan Timun, jalan masuk ke Seksyen 24 dekat sini.

Lebih ganas apabila sepanduk serupa di Seksyen 11 dan sempadan Seksyen 16/17 disembur dengan cat kelabu berbentuk salib di atas wajah Mohamad.

Malah semua lambang parti-parti dalam Pakatan Rakyat telah dilubangkan menjadikan sepanduk itu sudah tidak berfungsi.

Timbalan Yang Dipertua PAS Shah Alam, Azli Yusof berharap pihak polis akan segera menyiasat selepas pemuda membuat laporan.

26 Jun lalu, banyak sepanduk mengiklankan Program Aspirasi di Seksyen 24 anjuran Umno Shah Alam menampilkan Dr Fazillah Kamsah dan enam artis, sehingga hari ini masih elok tergantung.

Malam ini, Dewan Pemuda PAS Selangor menganjurkan Solat Hajat dan Pidato Khas di Stadium Malawati bermula 7.30 malam.

Menurut Ketua Dewan Pemuda Selangor, Ustaz Hasbullah Mohd Ridzwan, Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi dan Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abd Rani Osman juga turut serta.

Dr Rani akan mengimamkan solat hajat yang diadakan di kawasan arena dalam stadium tersebut.

Program ini bermula pada pukul 6.30 petang lagi dengan ketibaan tetamu dari seluruh negeri dan diikuti solat Maghrib berjemaah.

Jam 9.10 malam, pidato bermula dengan hadirin akan dapat mendengar ucapan

Ustaz Nasrudin, wakil PKR dan DAP serta Dr Rani sebelum acara kemuncak, ucaptama dari Mohamad.

Tiada ulasan: