Khamis, 23 Jun 2011

Presiden PAS akan terbit buku Negara Berkebajikan

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sedang menyiapkan sebuah buku khas bagi menerangkan dengan lebih lanjut apa yang dimaksudkan beliau dengan negara berkebajikan.

Ia adalah susulan dari ucapan dasar yang dibentangkan beliau dalam muktamar tahunan PAS ke 57 baru-baru ini yang bertemakan Membangun Negara Berkebajikan.

Buku yang dalam proses akhir penerbitan itu dijangka akan diterbitkan tidak lama lagi.

Selepas muktamar baru-baru ini, pelbagai pihak termasuk para mufti meminta PAS menerangkan apa yang dimaksudkan dengan negara berkebajikan itu.

"Buku ini adalah syarahan kepada konsep negara kebajikan yang saya bentangkan dalam muktamar lalu yang saya cedok dari Al Quran, hadis, sejarah Islam khasnya zaman Rasulullah, khalifah Rasyidin dan kemuncaknya zaman Omar Abdul Aziz di samping zaman Zulkarnain dan Nabi Sulaiman," kata Abdul Hadi.

Buku bertajuk Apa Maksud Negara Kebajikan itu bakal menjadi komplimen kepada ucapan dasar, Buku Jingga dan bakal menjadi rujukan kepada Buku Hijau yang sedang dirangka oleh PAS.

Baru-baru ini, PAS membentuk satu penal khas untuk mengeluarkan Dokumen Konsep dan Ciri-ciri Negara Berkebajikan atau Buku Hijau yang bakal memberikan butiran yang lebih jelas tentang negara berkebajikan.

Panel yang diketuai Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub ini sudah memulakan mesyuaratnya baru-baru ini dan akan mengeluarkan secepat mungkin buku itu.

Abdul Hadi berkata, buku yang dibuatnya ini bakal membezakan negara kebajikan dengan negara angkuh yang pernah ada dalam sejarah.

"Negara angkuh berusaha membina bangunan yang menjadi mercu tanda tanpa menyedari berapa ramai rakyat yang terkorban di bawah bangunan itu," kata Abdul Hadi.

Buku itu akan cuba memujuk rakyat agar mengenali dengan baik apa hasrat PAS termasuk menerima ajakan agar mereka menukar Umno dengan PAS.

Buku itu berupa konsep dan dalil-dalil tentang negara berkebajikan manakala Buku Hijau nanti adalah perincian kepada apa yang hendak ditawarkan melalui konsep itu.

Tiada ulasan: