Jumaat, 10 Jun 2011

Portal 1 Pengguna tak selamat mudah digodam, kata pakar


KUALA LUMPUR — Portal 1Pengguna dilancarkan Selasa lalu telah diceroboh, yang mana penggodam memperoleh butiran-butiran peribadi dan alamat e-mel lebih 2,000 pengunjung yang telah mendaftar, kata pakar keselamatan.

Kata mereka, maklumat digodam juga akan digunakan untuk akses kepada data kewangan pengguna terbabit.

Portal komuniti Lowyat.net pagi ini melaporkan terdapat “beberapa kelemahan” dalam portal 1Malaysia Pengguna Bijak (1MPB), projek bernilai RM1.4 juta itu, sehingga membolehkan penggodam memperoleh maklumat peribadi pengguna walaupun ia dilaporkan rahsia.

Maklumat peribadi termasuk nama, alamat, tarikh lahir dan bank atau syarikat boleh menyebabkan berlaku kecurian identiti.

“Kata laluan ini tidak sukar untuk digodam, anda juga boleh gunakan kelemahan-kelemahan ini memburukkan keseluruhan portal,” kata pengasas Lowyat.net dan ketua pegawainya Vijandren Ramadass kepada The Malaysian Insider.

Vijandren juga berkata, Lowyat telah menemui “beberapa kelemahan keselamatan dalam portal itu” ketika ia dilancarkan dan memaklumkan perkara itu kepada pentadbir laman web itu, namun gagal.

Beliau berkata, penggodam yang digelar “Rilekscrew” juga menyatakan “kelemahan-kelemahan ini membenarkan semua data diperoleh daripada pelayan.”

“Jelas, ini bukan projek bernilai RM1.4 juta. Keselamatan dan peribadi pengguna begitu penting terutamanya dalam laman web milik kerajaan,” katanya.

The Malaysian Insider juga memperoleh satu senarai melebihi 1,000 butiran pengguna dari kedua-dua laman web itu.

Semalam, Putrajaya mengakui portal 1MPB masih belum bersedia menerima 3.5 juta capaian sejak dilancarkan dua hari lalu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, laman web 1pengguna.com “mengalami masalah” selepas mencecah sebanyak 300,000 hingga 400,000 capaian sehingga menyebabkan server portal itu terjejas.

Putrajaya melancarkan portal itu Selasa lalu dengan meletakkan senarai harga barang-barang keperluan.

Portal itu mempamerkan harga 355 jenis barangan di pasar raya besar, 100 jenis barangan di pasar raya, pasar basah (50) dan kedai serbaneka (100).

Sebarang perubahan harga akan dikemas kini secara harian.

Bagaimanapun kelmarin usaha untuk memperoleh maklumat daripada laman web itu gagal kerana terlalu sibuk.

Tiada ulasan: