Khamis, 9 Jun 2011

Penerima pinjaman Yayasan Selangor tidak kira kaum

Ismail Hashim


SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor mendedahkan angka dan fakta pelajar yang memohon dan menerima pinjaman dari Yayasan Selangor yang jelas dalam amalannya langsung tidak mengambilkira latar belakang kaum.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, rupanya masih ramai yang tidak memahami bagaimana proses dan lebih malang cuba mengelirukan orang ramai seperti MIC yang membuat dakwaan kononnya Kerajaan Selangor tidak peka dalam hal berbangkit.

Perkara ini dijelaskan dalam sidang media yang diadakan selepas mesyuarat mingguan Majlis Kerajaan Negeri Selangor di Bangunan SUK, dekat sini, semalam.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Dr Halimah Ali pula berkata, dakwaan MIC mengenai kerajaan negeri tidak peka dalam bantuan untuk semua kaum dalam pemberian pinjaman, tidak benar sama sekali.

Dr Halimah berkata, beliau sendiri telah memaklumkan dalam satu sidang media pada awal tahun ini mengenai pinjaman dari Yayasan Selangor yang tidak mempunyai kouta antara kaum.

Menurutnya, dalam 2011 Yayasan Selangor telah menerima permohonan sebanyak 350 dari Bumiputera di mana 227 ditawarkan kerana yang lain ada yang tidak menepati syarat seperti berada di luar negara.

Dari jumlah itu pula, jelasnya, hanya 141 yang menerima tawaran, dari kaum Cina, empat pemohon dan dua ditawarkan pinjaman namun kedua-dua tidak terima tawaran itu kerana had pinjaman Yayasan Selangor sebanyak RM35,000 sahaja, tidak mencukupi untuk jurusan perubatan dan jumlah PTPTN lebih besar.

Dari kaum India pula, sebanyak 19 permohonan dalam 2011 dan 11 ditawarkan dan hanya enam sahaja yang terima tawaran.

Beliau berkata, Yayasan Selangor telah mewar-warkan perkara ini dalam tiga bahasa utama negara dan jelas tiada sebarang perkiraan kaum dilakukan.

Beliau juga menyatakan fakta dari tahun ke tahun mengenai pinjaman yang diterima berdasarkan komposisi kaum di mana pada 2010: Melayu (843), Cina (2) dan India (20); 2009: Melayu (502), Cina (0) dan India (42).

Sebelum itu, beliau memaklumkan esok (9 Jun), Kerajaan Negeri Selangor akan mengagihkan peruntukan sebanyak RM6.6 juta kepada ketiga-tiga jenis sekolah; SAR, SJKC dan SJKT Fasa 1.

Tiada ulasan: