Ismail Hashim |
SHAH ALAM: Isu Hospital Shah Alam yang sepatutnya siap akhir 2010, hari ini dilapor secara rasmi kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Petang tadi, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad menyerahkan memo bantahan kerana mempunyai unsur penyelewengan dalam projek hospital itu kepada SPRM Selangor, dekat sini. Menurut Khalid, pihaknya telah menerima beberapa dokumen berhubung projek bernilai RM482 juta itu yang kini terbengkalai. Beliau yang juga AJK PAS Pusat berkata, dokumen-dokumen itu menimbulkan kesangsian pihaknya terhadap ketelusan perjalanan projek serta pengurusannya. Laporan berlangsung selama dua jam itu telah diterima sendiri Pengarah SPRM Selangor, Timbalan Pesuruhjaya Datuk Ja'afar Mahad di pejabatnya. Kata Khalid, dokumen itu adalah surat Frontier Structure (FS) Sdn Bhd pada 23 Ogos 2010 kepada Pengarah Sunshine Fleet (SF) Sdn Bhd yang menawarkan nilai sub-kontrak bernilai RM30 juta sekiranya pembinaan diserahkan kepada FS. Dokumen lain adalah surat Kementerian Kewangan pada 22 Mac 2011 mengarahkan tender yang telah diputus dibatalkan dan dipanggil kembali GM Healtcare Sdn Bhd dan FS dalam tender baru. Menurut Yang Dipertua PAS Kawasan Shah Alam itu, SF merupakan kontraktor utama projek ini yang berjaya mendapat projek ini secara rundingan terus pada 2008. "Kemampuan mereka mendapat projek ini secara rundingan terus adalah bukti hubungan rapat mereka dengan pihak Kementerian Kewangan Malaysia . "Tawaran RM30 juta dijangka sebagai insentif menggunakan pengaruh mereka supaya tender dipanggil semula dengan FS dijemput menyertai tender baru," jelasnya. Khalid berkata amat menghairankan bagaimana syarikat tidak berdaftar dengan Pusat Khidmat Kontraktor (PKK) sebagai kontraktor Kelas A disebut untuk dijemput menyertai tender sebegini. Katanya, dengan dibekalkan surat dari FS kepada SF adalah jelas ia dilakukan bukan secara kebetulan sebaliknya hasil penyalahgunaan pengaruh yang didorong ganjaran tertentu. Adalah juga disyaki penundaan tender adalah untuk memungkinkan FS memperolehi pendaftaran sebagai kontraktor Kelas A. Ketua Pemuda PAS Kawasan, Mohd Hilmi Radzuan mendesak pihak berkaitan segera selesaikan pembinaan hospital itu kerana melibatkan kebajikan rakyat Shah Alam sekitar sejuta orang. "Amat malang Bandaraya Shah Alam sebagai sebuah ibu negeri Selangor yang paling maju di negara ini tetapi belum mempunyai hospital sendiri dan terpaksa menumpang di Klang, Kuala Lumpur dan Sungai Buloh. "Perasaan rakyat lebih menderita bila timbul isu projek terbengkalai sudah beberapa tahun terakhir sedangkan sakit setiap hari menyerang rakyat," tegasnya. |
Sabtu, 11 Jun 2011
PAS lapor SPRM isu Hospital Shah Alam
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan