Rabu, 22 Jun 2011

PAS kesal tender langsung ubah suai Parlimen

Aziz Muda


KUALA LUMPUR: Kerajaan BN diminta bertindak lebih bertanggungjawab dan telus dengan mengadakan sistem tender terbuka bagi sebarang pembinaan dan pengubahsuaian satu bangunan di Parlimen.

Dengan mengadakan sistem tender terbuka, kerajaan bukan sekadar bertindak adil kepada para kontraktor, tetapi juga akan menjanjikan perlaksanaan kerja yang lebih baik bagi bangunan terbabit, di samping menjimatkan wang rakyat.

Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) berkata, namun tindakan kerajaan yang memberikan tender secara langsung dengan menggunakan peruntukan AP 55 bagi pembinaan satu bangunan di Parlimen amat dikesali.

Menurut beliau, disebabkan tindakan itu, kerja-kerja bagi pembinaan dan pengubahsuaian bangunan itu hanya diserahkan kepada satu kontraktor terpilih sahaja iaitu TRC Corporation, manakala kontraktor-kontraktor lain langsung tidak berpeluang mengambil bahagian bagi melaksanakan kerja itu.

Katanya, kos pembinaan, pengubahsuaian dan pembaikian bangunan di Parlimen yang diserahkan kepada kontraktor terbabit agak meragukan apabila menelan belanja agak tinggi sebanyak RM11 juta bagi satu fasa dan melibatkan tiga fasa.

"Saya persoalkan harga ubah suai bangunan di belakang bangunan tempat persidangan. Harga akhir tertakluk pada harga yang dinyatakan olleh TRC Corporation. AP 55 tiada harga yang ditetapkan," katanya pada persidangan Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Oleh itu, menurut beliau, peruntukan AP 55 tidak wajar digunakan dan digantikan dengan sistem tender terbuka bagi membolehkan kerajaan mendapatkan perkhidmatan dari kontraktor terbaik terutama yang pernah menerima penganugerahan ekoran kecermerlangannya.

"Dengan mendapatkaan khidmat kontraktor seperti itu, harga yang disebut pasti lebih munasabah supaya perbelanjaan yang dikeluarkan oleh kerajaan betul-betul menepati kepperluan supaya tidak rugikan negara dan ini pasti akan menjimatkan wang rakyat," katanya yang juga Nab Presiden PAS.

Sehubungan itu, beliau turut mencadangkan Parlimen menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi meneliti pengendalian sistem tender terbuka jika kerajaan bersetuju melaksanakan sistem tersebut bagi menggantikan peruntukan AP 55.

Tiada ulasan: