Sabtu, 18 Jun 2011

MB Selangor Yakin Bersih 2.0 Berlangsung Dengan Aman

Ditulis oleh Nur Atiqah Abd Samad




SELAYANG : Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yakin perhimpunan Bersih 2.0 yang akan diadakan pada 9 Julai depan akan berlangsung secara tertib dan aman.

Ujarnya, negara yang mengamalkan prinsip demokrasi seperti Malaysia tidak wajar menyekat hak rakyat untuk berhimpun secara aman sepertimana yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Pakatan Rakyat bersetuju dengan NGO untuk memperjuangkan hak rakyat di negara ini dan kita berharap makin lama rakyat makin matang untuk membenarkan masyarakat bersuara tapi dengan cara tertib dan aman,"katanya pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan cek kepada penduduk Kg Kok Doh, Bandar Baru Selayang di Dewan Kompleks Pegawai Daerah Gombak, di sini, hari ini.

Khalid turut menegaskan sekiranya kerajaan mahupun polis terus mengganggu perhimpunan yang dijadual berlangsung secara aman ini, ia hakikatnya hanya akan menimbulkan kemarahan rakyat.

"Perkara ini tidak boleh ditahan, lagi kita tahan, jika terlalu banyak undang-undang yang terlalu ketat seperti di Mesir, apa jadi? Rakyat memberontak, itu sebagai contoh. Jika kita bagi peluang untuk rakyat bersuara dengan keadaan yang tertib dan aman itu adalah lebih baik daripada menyekat mereka,"jelas Khalid.

Menurut Khalid, beliau difahamkan Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih atau singkatannya Bersih akan menulis surat kepada Polis di-Raja Malaysia bagi mendapatkan permit supaya tiada kejadian dan ketegangan berlaku ketika perhimpunan berlangsung.

Perhimpunan Bersih sebelum ini telah dianjurkan pada tahun 2007 di Dataran Merdeka yang disertai oleh 100, 000 orang.

Bersih 2.0 menuntut tujuh perkara iaitu pendaftaran pengundi secara automatik ketika berusia 21, reformasi bagi sistem undi pos untuk para pengundi luar bandar, penggunaan dakwat yang tidak dapat dipadamkan bagi mengelakkan undi berulang-kali, capaian media aliran utama untuk parti pembangkang, tempoh kempen minimum 21 hari, kebebasan badan penguatkuasaan bertindak berhubung kesalahan pilihan raya dan menghapuskan rasuah pilihan raya.

Tiada ulasan: