Sabtu, 4 Jun 2011

Laluan Keningau-Apin-Apin tergendala akibat tanah mendap

KENINGAU KINI


KENINGAU: Laluan Keningau- Apin-Apin tergendala seketika apabila permukaan jalan berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Keningau II, mendap kira-kira jam 6.00 pagi kelmarin akibat hujan lebat yang berterusan sejak tengah malam.

Walau bagaimanapun, laluan menjadi tenang semula apabila polis mengawal lalu lintas dan memastikan pengguna jalan raya mematuhi arahan.

Kejadian tanah mendap itu menyebabkan permukaan jalan yang sedang dalam pembinaan berlubang seluas lebih kurang enam meter dan kira-kira tiga meter dalam.

Ketua Polis Daerah Keningau Deputi Sipritendan Polis (DSP), Zahari Mohamed, yang melawat tempat kejadian awal pagi berkata, kejadian itu kemungkinan besar disebabkan sistem saliran yang tidak sempurna.

Beliau meminta pihak yang berkenaan agar mengatasi masalah itu agar kejadian seumpama itu tidak berulang.

Ketua Polis Daerah itu juga menasihatkan pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi arahan polis sebagai langkah menjaga keselamatan.

Berikutan kejadian mendapan itu, laluan ditutup dalam tempoh sehingga kerja-kerja pembaikan selesai.

Walau bagaimanapun para pengguna jalan raya boleh menggunakan laluan alternatif iaitu jalan Kota Ayangan bagi mereka yang bergerak dari arah Tambunan dan jalan belakang hospital bagi mereka yang bergerak dari Keningau.

Sementara itu, Ketua Pegawai Perhubungan Ahli Parlimen Keningau, Harry Otigil yang mewakili Ahli Parlimen Keningau, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata, beliau difahamkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) di sini bahawa kejadian mendapan permulaan jalan itu disebabkan culvet tidak dapat menampung saliran air berikutan hujan lebat yang mula turun sejak tengah malam hingga subuh pada Khamis.

Katanya, kerja-kerja penyelenggaraan dibuat oleh kontraktor pembinaan naiktaraf jalan raya selepas kejadian itu dan permukaan jalan yang hampir siap terpaksa dikorek semula bagi menyempurnakan sistem salirannya.

Dalam masa yang sama beliau berharap agar kerja-kerja penyelenggaraan dapat dilaksanakan dengan segera bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas menjelang SAGA V di daerah pada 6 hingga 11 Jun ini.

Tiada ulasan: