KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran melaksana Akta Gaji Minima kepada kakitangan kerajaan terlebih dahulu supaya langkah itu dituruti pihak swasta.
Demikian dinyatakan bekas Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Syed Syahir Syed Mohamud ketika hadir di parlimen hari ini.
“Ia boleh dilakukan secara berperingkat iaitu dengan penguatkuasaan akta ini dalam sektor awam. Kemudian, pihak swasta akan menuruti.
“Dalam pada itu, golongan pekerja tidak menolak penubuhan NWCC (Majlis Konsultasi Gaji Negara). Ia ada peranan lain tetapi, keutamaannya ialah pelaksanaan Akta Gaji Minima,” ujarnya.
Terdahulu, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago menjelaskan Akta Gaji Minima boleh dilaksana tanpa pewujudan NWCC.
“Ia hanya satu lagi lapisan birokrasi yang melambatkan pelaksanaan kerana akhirnya proses itu akan kembali kepada Menteri yang berkuasa untuk memutuskannya,” kata Charles.
Beliau juga berkata, berbanding Indonesia dan Korea Selatan, NWCC tidak memperinci atau mendefinisi istilah gaji minima.
“Sekurang-kurangnya, satu penetapan kepada istilah ini diwujudkan. Sebagai contoh, gaji minima adalah munasabah dan berada di atas paras garis kemiskinan,” kata Charles.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan