Jumaat, 3 Jun 2011

Kes Sarbaini: Tubuh suruhanjaya diraja bukannya inkues, kata DAP

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Putrajaya seharusnya mengambil teladan daripada pengalaman lalu dengan terus mengadakan satu suruhanjaya diraja siasatan berhubung insiden kematian pegawai Kastam Diraja Malaysia, Ahmad Sarbaini Mohamed berbanding inkues disyorkan polis, kata pemimpin DAP hari ini.

“Pihak berkuasa perlu belajar daripada hasil yang tidak memuaskan dalam inkues Teoh Beng Hock dan terus adakan suruhanjaya diraja siasatan,” kata Lim Kit Siang.

Lim (gambar) berkata, sesuatu yang amat tidak memuaskan apabila polis dan Jabatan Peguam Negara mengambil masa dua bulan untuk membuat syor agar diadakan satu inkues berhubung kematian penolong pengarah Kastam Diraja Malaysia itu.

“Jelas, syor inkues dibantah keras oleh SPRM, yang dari awal tidak mahu ambil tanggungjawab dalam kematian Sarbaini, seperti dalam kes Teoh Beng Hock,” katanya.

Lim berkata, sebagaimana digambarkan dalam prosiding suruhanjaya diraja berhubung kematian Teoh, satu suruhanjaya untuk menyiasat kes Ahmad Sarbaini bukan penyelesaian terbaik atau memuaskan tetapi lebih baik berbanding inkues.

“Kabinet dalam mesyuarat Rabu (depan) harus mengambil keputusan tegas untuk mengadakan suruhanjaya siasatan diraja berhubung kematian Sarbaini,” katanya lagi.

Berdasarkan pengumuman semalam, polis dan Peguam Negara bersetuju untuk mengadakan inkues berhubung kematian Ahmad Sarbaini.

Awal tahun ini, Kabinet memutuskan untuk mengadakan suruhanjaya diraja selepas inkues membuat keputusan terbuka berhubung kematian Teoh.

Prosiding suruhanjaya itu selesai baru-baru ini.

Tiada ulasan: