Khamis, 2 Jun 2011

Kes Felda saman Suara Keadilan Julai depan

"Kita sudah bersedia menghadapi kes ini," kata Ahmad Maslan.



PUTRAJAYA: Kes saman Felda terhadap Suara Keadilan akan mula dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Julai depan, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan.

“Ini yang diberitahu oleh peguam Felda, Datuk Hafarizam Harun. Kita sudah bersedia menghadapi kes ini,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini petang semalam.

Pada 17 Ogos lalu, Felda dan syarikat pelaburannya memfailkan saman fitnah bagi menuntut ganti rugi RM200 juta terhadap enamdefendan termasuk penerbit dan pencetak akhbar Suara Keadilan kerana didakwa menyiarkan artikel fitnah bertajuk ‘Felda Bangkrap’.

Felda dan Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd (plaintif) menamakan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan bekas timbalannya, Dr Syed Husin Ali, sebagai pemegang jawatan dalam PKR mengikut Seksyen 9 (c) Akta Pertubuhan 1966, sebagai defendan pertama dan kedua.

Plaintif menyaman PKR sebagai penerbit akhbar Suara Keadilan yang sudah tamat tempoh permit penerbitannya pada 30 Jun lalu.

Empat lagi defendan adalah penerbit akhbar itu, Pelita Koridor Sdn Bhd; pencetak, Percetakan NPK Sdn Bhd; penyunting, Dzulkarnain Taib dan penulis artikel itu, Rusnizam Mahat.

‘Felda Bangkrap’

Artikel tersebut disiarkan di halaman muka depan Suara Keadilan keluaran 22 hingga 29 Jun 2009. Beberapa pemimpin utama PKR turut membawa isu itu dalam ceramah-ceramah politik mereka.

Sementara itu, 766 peneroka Felda Serting di Negeri Sembilan memfail saman RM200 juta terhadap Felda di Mahkamah Tinggi Seremban, Mac lalu.

Peneroka Serting mendakwa Felda menipu peratusan Kadar Perahan Gred (KPG) hingga menyebabkan mereka menanggung kerugian sebanyak RM200 juta.

Ujian makmal menunjukkan peratusan KPG sebenar yang diperoleh mencecah 24 peratus sedangkan mereka hanya memperoleh 18 peratus KPG daripada Felda.

Mengulas perkara ini, Ahmad berkata, Felda sudah sedia menghadapi tindakan daripada para peneroka berkenaan.

“Tetapi saya ingin mengingatkan mereka bahawa kekalahan Felda dalam kes saman oleh peneroka Felda Kemahang (Kelantan) sebelum ini kerana peguam Felda tidak ke mahkamah.

“Tetapi kali ini kita sudah sedia menghadapi tindakan mereka,” katanya.

Tiada ulasan: