Jumaat, 24 Jun 2011

Kerajaan tidak perlu takut himpunan Bersih 2.0

Muhammad Yusri Amin

KOTA BHARU: Kerajaan diingatkan tidak perlu takut kepada himpunan aman Bersih 2.0 yang akan berlangsung pada 9 Julai nanti, kata Penolong Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan (gambar).

Ini, katanya kerana menerusi program itu, rakyat khususnya penyokong Pakatan Rakyat hanya menyuarakan pandangan mereka sebelum menyerahkan memorandum kepada pihak berkenaan.

“Kebebasan berhimpun dan kebenaran bersuara. Jadi saya tidak nampak kenapa Kerajaan Persekutuan perlu takut.

“Ini kerana berdasarkan rekod, perhimpunan yang dianjurkan Pakatan Rakyat termasuk Himpunan Bersih pertama (2007), adalah himpunan yang aman,” katanya.

Namun kata beliau, sekiranya berlaku huru-hara, itu ialah apabila berlaku provokas pihak lain termasuk polis.

“Jadi, bagi saya, Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini perlu dibenarkan,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Kelantan.

Beliau bercakap kepada pemberita pada Majlis Perasmian Siap Fasa Satu pembinaan Bandar Satelit Islam Pasir Tumboh dekat sini, semalam.

Majlis dirasmikan oleh Timbalan Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob.

Takiyuddin berkata, pokok pangkalnya ialah sekiranya satu-satu perhimpunan itu mengancam keselamatan negara seperti perhimpunan untuk membakar apa-apa benda misalnya, maka perhimpunan itu bolehlah dilarang.

“Jadi saya selaku peguam, saya faham hak rakyat dari sudut Perlembagaan itu sendiri, hak berhimpun, hak bersuara, hak untuk menyatakan pandangan. Ini disebut sebagai hak asasi, dan hak asasi adalah di bawah (peruntukan) Perlembagaan,” katanya.

Tiada ulasan: