Isnin, 20 Jun 2011

Keluarga Sarbaini akhirnya terima inkues siasat punca kematian


KUALA LUMPUR — Keluarga Allahyarham Ahmad Sarbaini Mohamed bersetuju dengan keputusan kerajaan mengadakan inkues bagi menyiasat punca kematian penolong pengarah Kastam Diraja Malaysia itu.

Menurut peguam yang mewakili keluarga Sarbaini, Ghazali Mohd Ramli, pihaknya memutuskan untuk mengikut undang-undang dan akur dengan keputusan kerajaan memanggil satu inkues awal bulan depan.

“Keluarga bersetuju, balu Sarbaini (Maziah Manap) juga bersetuju, mungkin ada yang tidak setuju tapi kita perlu ikut undang-undang.

“Saya boleh katakan keluarga bersetuju dengan inkues, kita ikut keperluan... undang-undang sudah kata macam itu, jadi kita ikut,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Ditanya mengenai pendirian anak sulung Sarbaini (gambar), Shahril yang mahukan agar suruhanjaya diraja siasatan diadakan, Ghazali berkata, permintaan itu tidak munasabah kerana inkues perlu diadakan terlebih dahulu.

“Suruhanjaya diraja siasatan tidak munasabah lagi, inkues perlu dilakukan terlebih dahulu... kemudian baru suruhanjaya diraja.

“Jadi, kita sudah buat keputusan untuk bersetuju dengan inkues ini,” katanya.

Sementara itu, Shahril juga mengesahkan keluarga bersetuju agar diadakan inkues setelah dinasihati Ghazali selaku peguam keluarga.

Dia juga menegaskan keputusan itu dibuat secara rela hati dan tidak wujud sebarang unsur paksaan.

“Ya, kami setuju dengan inkues... saya sudah hubungi ibu dan dia kata setuju sebab peguam kata perkara ini memang kena ikut langkah dan tidak boleh terus mahu adakan suruhanjaya diraja siasatan.

“Tiada (paksaan)... keputusan ini rela hati mahu adakan inkues sebab prosedur tetap prosedur,” katannya, namun enggan mengulas lanjut.

Jelas Ghazali, seorang peguam pemerhati akan dilantik bagi memantau perjalanan inkues yang akan bermula 4 hingga 15 Julai ini, yang diketuai koroner Aizatul Akmal Maharani.

Sebelum ini, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk V.K Liew berkata, inkues perlu diadakan terlebih dahulu meskipun wujud tekanan agar diadakan suruhanjaya diraja siasatan.

Beliau berkata bahawa inkues adalah pilihan pertama dan ia adalah prosedur yang perlu dipatuhi.

Shahril juga sebelum ini memberitahu The Malaysian Insider bahawa pihaknya lebih suka jika Putrajaya terus menubuhkan suruhanjaya diraja siasatan berbanding inkues.

Kata Shahril, keluarganya percaya inkues yang mahu diadakan sukar untuk mengenal pasti punca kematian selain akan melambatkan proses menuntut keadilan.

Tiada ulasan: