Sabtu, 18 Jun 2011

KDN mesti bertanggungjawab isu bogel pelancong

Aziz Muda


KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mesti bertanggungjawab dengan kejadian tidak sepatutnya yang berlaku di sempadan negara, sehingga dua pelancong asing diarahkan berbogel dan ketuk ketampi, akibat kelemahan sistem proses kemasukan rakyat asing ke negara ini.

Kecuaian KDN dalam melaksanakan tanggungjawabnya telah menyebabkan imej negara tercalar, pelancong asing yang gagal memahami peraturan menjadi mangsa, manakala pegawai Imigresen yang bertugas teraniaya.

Exco Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP), Suhaizan Kaiat berkata, kejadian yang berlaku di sempadan negara, khususnya di pintu masuk ke negara ini di Johor, jelas berpunca dari kelemahan sistem proses kemasukan rakyat asing ke negara kita yang sepatutnya sudah diatasi oleh KDN sekian lama.

Menurut beliau, kelemahan tersebut berlaku akibat penghadang di kaunter tol berada di tempat yang berasingan dengan kaunter Jabatan Imigresen, pada hal kaunter tol dan kaunter Jabatan Imigresen sepatutnya disatukan seperti yang dilakukan di Singapura.

Katanya, selain itu, Jabatan Imigresen tidak disediakan alat pengimbas bagi mengesani para pelancong asing yang ingin masuk ke negara ini, sehingga menyebabkan para pegawai Imigresen bertugas mengalami kesulitan untuk mengesani mereka yang keluar masuk di sempadan negara.

"Akibat kecuaian KDN dalam perkara itu, pelancong asing yang tidak faham dengan peraturan di negara kita menjadi terkeliru lalu melakukan kesilapan.

"Dalam masa yang sama, pegawai Imigresen yang bertugas pula terpaksa menggunakan cara lama untuk mengesani seseorang pelancong asing, sama ada turut membawa masuk barangan terlarang atau tidak ke negara kita yang disembunyikan dalam badan mereka," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Semalam Harakahdaily melaporkan, pihak berkuasa khususnya Jabatan Imigresen disaran melakukan beberapa langkah wajar bagi mengatasi kesilapan pada proses kemasukan rakyat asing ke negara kita, tanpa perlu mengarahkan pelancong asing berbogel dan melakukan ketuk ketampi akibat kesilapan yang berlaku.

Antara langkah yang perlu dilakukan termasuklah dengan menyatukan kaunter Jabatan Imigresin dan kaunter tol seperti yang dilakukan di Singapura dan membuat fasa-fasa munasabah bagi memasukkan data cap jari pelancong yang masuk ke negara ini.

Suhaizan yang juga Ketua Pemuda PAS Johor berkata, beliau telah mengadakan pertemuan dengan Timbalan Pengarah Jabatan Imigresin Johor, Amran Ahmad, 15 Jun lalu, di Pejabat Jabatan Imigresin Negeri Johor, Taman Setia Tropika, Kempas, berhubung isu 2 orang warga Singapura yang ditahan oleh pihak berkuasa dan telah diarahkan berbogel dan ketuk ketampi.

Menurut beliau, Amran bagaimanapun tidak dapat memberikan sebarang komen berhubung isu tersebut kerana tidak diberikan mandat oleh pihak atasan untuk membuat sebarang kenyataan kepada Pemuda PAS Negeri Johor.

Katanya, bagi menjaga nama baik agensi kerajaan khususnya Jabatan Imigresin Malaysia, Pemuda PAS Negeri Johor lebih memberi fokus terhadap ruang kesilapan manusia yang terdapat pada proses masuk ke negara kita.

"Dua orang warga Singapura itu menyatakan bahawa mereka telah melalui kaunter Jabatan Imigresin tetapi tiada pegawai di kaunter tersebut. Kemudian mereka meneruskan ke kaunter tol.

"Mereka membuat bayaran tol dan penghadang pun dibuka. Seterusnya mereka masuk ke negara kita dengan anggapan bahawa negara kita mungkin telah melaksanakan sistem biometrik yang tidak memerlukan pegawai untuk pengesahan masuk," katanya.

Dewan Pemuda PAS Johor, menurut beliau, berpendapat terdapat ruang yang membolehkan manusia membuat kesilapan semasa proses masuk ke negara kita.

Penghadang di kaunter tol, katanya, sepatutnya berada di kaunter Jabatan Imigresin, bukannya berada di kaunter tol dan kebenaran masuk perlu dibuat oleh pegawai. Setelah mendapat kebenaran maka penghadang akan dinaikkan dan pelancong boleh masuk ke negara kita.

"Adalah lebih baik jika kaunter Jabatan Imigresin dan kaunter tol disatukan seperti proses masuk ke Singapura. Ini bagi mengelakkan kekeliruan berlaku kepada pelancong terutamanya bagi mereka yang kurang memahami peraturan-peraturan dalam negara kita," katanya.

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor, tegas beliau, berpandangan Jabatan Imigresin boleh membuat fasa-fasa yang munasabah bagi memasukkan data cap jari pelancong yang masuk, contohnya satu bulan.

"Keadah berfasa ini dapat mengelakkan kesesakan di sempadan negara kita. Cadangan ini boleh dijadikan panduan untuk tindakan pada masa yang akan datang," ujar beliau.

Hari ini pula, dua pegawai imigresen dilaporkan digantung tugas ekoran laporan bahawa dua wanita Singapura dipaksa melakukan ketuk ketampi dalam keadaan berbogel minggu lalu selepas ditahan kerana dipercayai memasuki Malaysia secara tidak sah.

Akhbar Straits Times Singapura dalam laporannya hari ini berkata, Kementerian Luar republik itu melihat perkembangan tersebut sebagai “sesuatu yang serius dan menimbulkan kebimbangan.”

“Kami mengalu-alukan pengumuman segera pihak berkuasa Malaysia bahawa siasatan segera akan diadakan,” kata akhbar itu memetik jurucakap kementerian tersebut.

Akhbar itu melaporkan kenyataan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Alias Ahmad semalam bahawa pegawai-pegawainya telah digantung tugas sehingga satu inkuiri pelbagai peringkat selesai.

Alias berkata, panel tujuh orang itu akan menyerahkan laporannya kepada Jabatan Imigresen dan kemungkinan akan memanggil kedua-dua wanita itu jika perlu.

Menurut Suhaizan, beliau amat bersimpati dengan nasib pelancong asing dan dua pegawai Imigresen terbabit yang tidak sepatutnya menjadi mangsa akibat kejadian itu.

"Semua itu berlaku akibat kecuaian KDN dalam melaksanakan tanggungjawabnya. Kejadian itu tidak akan berlaku jika tidak kerana kelemahan sistem yang digunakan di negara kita.

"Oleh itu, saya menyarankan KDN agar membetulkan sistem proses kemasukan rakyat asing ke negara kita dengan menyatukan kaunter tol dan kaunter Jabatan Imigresen," katanya.

Selain itu, jelas beliau, KDN perlu menyediakan alat pengimbas bagi membolehkan pegawai Imigresen yang bertugas menjalankan tugasnya dengan baik.

"Penyediaan alat pengimbas itu amat penting kerana dengan adanya alat itu, pegawai Imigresen yang bertugas tidak perlu mengarahkan pelancong asing berbogel dan ketuk ketampi untuk memastikan mereka tidak menyembunyikan barangan terlarang dalam badan mereka, akibat memasuki negara kita secara tidak sah.

"Pada hal, semua itu berlaku disebabkan kelemahan sistem proses kemasukan rakyat asing ke negara kita, akibat kecuaian KDN, bukannya kerana kesilapan para pegawai itu sendiri semata-mata," ujar beliau.

Tiada ulasan: