Khamis, 23 Jun 2011

KDN: Ideologi JI, keganasan tidak bertapak di Malaysia

THE MALAYSIN INSIDER

KUALA LUMPUR — Malaysia bukan sasaran pengganas walaupun Abu Bakar Bashir, pemimpin kumpulan militan Jemaah Islamiah (JI) Indonesia, pernah melawat sebuah maahad swasta tempatan beberapa tahun lalu, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Kata beliau (gambar), Malaysia juga tidak menghadapi sebarang risiko keselamatan sungguhpun seorang daripada anggota JI rakyat Malaysia telah menulis sebuah buku mengenai perjuangannya sebagai rujukan buat rekrut kumpulan militan itu.

“Perkara ini bukanlah baru, sebenarnya kita tahu perkara ini timbul kerana kandungan buku yang telah ditulis sebelum ini yang dikeluarkan di Indonesia.

“Ini menunjukkan kita perlu mengukuhkan hubungan antara pihak penguatkuasa khususnya ‘task force’ mengenai keganasan dengan agensi kerajaan yang ada kaitan dengan agama, tidak kira Islam, Buddha ataupun Kristian yang semua ada kumpulan serta pandangan ekstrem yang perlu dipantau,” katanya dipetik Bernama Online.

Menteri diminta mengulas mengenai kegiatan militan yang didakwa berkembang di maahad di negara ini.

Beliau berkata, perkembangan dua isu itu juga sebenarnya tidak bermakna ideologi JI dan keganasan telah bertapak di negara ini.

Menurut laporan akhbar yang memetik sumber polis, buku yang dimaksudkan itu ditulis oleh Nasir Abas, 42, seorang rakyat tempatan kelahiran Johor yang pernah dilantik sebagai ketua meliputi Sabah, Sulawesi dan selatan Filipina.

Ia juga melaporkan mengenai aktiviti sebuah maahad swasta di negara ini yang dikesan menjadi pusat merekrut belia berasaskan ideologi Abu Bakar yang dikenali sebagai fahaman Salafiah Jihadiah.

Tiada ulasan: