Khamis, 23 Jun 2011

Isu dua KP JKR: JPA perlu tanggungjawab, kata majlis JKR



(Dari kanan) Feriz Omar, Zulkifli Ahmad dan Hashim Mahmud menunjukkan salinan surat berkaitan kemelut pelantikan ketua pengarah Jabatan Kerja Raya pada sidang media di ibu pejabat agensi itu di Kuala Lumpur hari ini. — Foto oleh Choo Choy May


KUALA LUMPUR — Majlis Bersama Jabatan Pihak Pekerja Jabatan Kerja Raya (MBJ-JKR) mahu Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bertanggungjawab dalam kemelut dua ‘ketua pengarah’ yang berlaku dalam agensi kerajaan itu sejak dua bulan lalu.

MBJ-JKR yang mewakili lima buah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga mendesak agar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyelesaikan kemelut yang berlaku itu.

“Sepatutnya JPA yang perlu bertanggungjawab dalam perkara ini sebab JPA yang menguruskan prosedur mengenai lantikan jawatan sebelum diserahkan kepada SPA (Suruhanjaya Perkhidmatan Awam).

“Selain itu, SPA juga perlu mengambil tanggungjawab kerana meluluskan perkara ini dan kita harap JPA memperbaiki semula kesilapan ini,” katanya Yang Dipertua Pertubuhan Profesional JKR Malaysia Ir Zulkifli Ahmad kepada The Malaysian Insider.

Kemelut ketua pengarah JKR menjadi isu apabila pelantikan bekas ketua pengarahnya Datuk Seri Ir Judin Abdul Karim sebagai Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) berkuat kuasa 1 Mei lalu, didakwa bercanggah dengan prosedur peminjaman kakitangan awam yang ditetapkan pekeliling perkhidmatan 2008.


Datuk Seri Ir Judin Abd Karim. — Foto oleh Choo Choy May
Tempat Judin digantikan dengan Datuk Mohd Noor Yaacob yang sebelum ini merupakan Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya II.

Selain itu, Judin yang memegang jawatan ketua pengarah sejak Mei 2007 masih berada di pejabatnya manakala Mohd Noor menjalankan tugas dari pejabat lama beliau.

Pelantikan Mohd Noor sebagai sebagai Ketua Pengarah Kerja Raya berkuat kuasa 1 Mei lalu diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan akhir April lalu.

Terlebih dahulu dalam sidang media yang diadakan tengahari tadi, Zulkifli berkata kemelut yang berlaku itu harus diselesaikan degan baik agar semua pihak berpuas hati.

“JKR telah berhadapan dengan kemelut mempunyai dua ketua pengarah apabila proses ‘peminjaman’ yang mana Datuk Seri Judin ke CIDB tidak dipersetujui beliau dan keadaan menjadi gawat apabila ketua pengarah baru dilantik dengan diperkenan Yang di-Pertuan Agong.

“Apabila ini berlaku ia mendatangkan masalah apabila JKR mempunyai dua ketua pengarah kerana ketua pengarah lama tidak tahu arah ke mana harus pergi selepas menolak ke CIDB,” katanya.

Zulkifli yang juga ahli jawatankuasa MBJ-JKR berkata kemelut itu berlaku apabila proses pelantikan itu dibuat secara tidak telus selain Judin tidak menerima sebarang surat arahan berhubung pengosongan jawatan itu.

“Kita mahukan suasana perkhidmatan awam yang bebas bagi memastikan kita dapat memberikan khidmat yang cemerlang.

“Dan, kedudukan Datuk Seri Judin ini bukan beliau sengaja nak susahkan semua pihak tapi bila tiada ketelusan ia akan menyusahkan semua orang.

“Selain itu, Datuk Seri Judin juga tidak menerima apa-apa surat pengosongan, beliau sendiri tidak tahu status sebenar dan kita minta perkara ini dapat diselesaikan secara baik,” katanya.

Jelas beliau, sekiranya kemelut itu tidak diselesaikan dengan segera dikhuatiri projek-projek yang akan dijalankan akan tergendala.

“Jadi kita minta perkara ini diselesaikan dengan segera, kalau ada pihak yang buat kesilapan mengakulah dan betulkan semula.

“Selain itu, JPA juga perlu buat pendirian yang sepatutnya,” katanya sambil menambah, perkara itu telah dibawa ke perhatian Cuepacs.

Sementara itu, Setiausaha MBJ-JKR Hashim Mahmud pula berkata pihaknya bimbang kemelut tersebut sekiranya berpanjangan akan mewujudkan suasana “berpuak-puak” dalam JKR.

“Kita tidak mahu ini berlaku, selesaikan perkara ini secara baik dan berhemah.

“Kita tidak mahu nanti ada puak-puak, kita tidak mahu pekerja JKR berpecah,” katanya.

Presiden Pertubuhan Generasi Profesional Melayu dan Pewaris Bangsa (Prowaris) Feriz Omar pula berkata kerajaan perlu menyelesaikan kemelut itu dengan segera.

“Kesannya nanti bukan sahaja kepada rakyat tapi kepada golongan profesional.

“Dan dalam perkara ini saya menyokong tindakan Datuk Seri Judin yang menolak untuk tidak terima pelantikan itu, tindakan beliau betul kerana beliau ada hak tapi kita juga harus bertanya mengapa beliau menolak jawatan itu,” katanya.

MBJ-JKR juga telah menghantar surat kepada Cuepacs bagi membantu menyelesaikan kemelut yang berlaku itu.

Tiada ulasan: