Jumaat, 24 Jun 2011

Hina Islam: Utusan setaraf akhbar Denmark

Hazayani Zakaria


KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) hari ini menggesa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) melakukan siasatan ke atas pihak Utusan Malaysia berhubung karikatur yang disiarkan 15 Jun lalu, didakwa menghina Islam.

DMMP juga mahu Jawi menyiasat pembabitan biro politik Umno dalam pengeluaran dan penerbitan karikatur tersebut.

Ketua DMPP, Siti Zailah Mohd Yusof membuat gesaan tersebut selepas membuat aduan dan menyerahkan memorandum bantahan di pejabat Jawi pagi tadi.

"Kami harap tindakan yang sewajarnya dapat diambil dengan kadar segera kerana tindakan Utusan Malaysia jelas menghina dan merendah-rendahkan martabat Islam serta mempermain-mainkan hukum yang telah tersabit dalam Islam," kata beliau.

Memorandum tersebut diterima penolong pegawai tadbir bahagian khidmat pengurusan Jawi, Nasaruddin Mohd Zainal.

Karikatur yang dihasilkan pelukis yang dikenali sebagai Miki itu membuat dua perbandingan mengenai kaedah pelaksanaan hukuman jenayah rogol.

Gambar pertama yang merujuk kepada dialog antara pengadu wanita dan 'tok penghulu' yang berimejkan seorang alim.

Tok penghulu tersebut telah menolak aduan tersebut setelah wanita itu tidak mempunyai empat orang saksi walaupun ia mempunyai rakaman kejadian tersebut menggunakan telefon bimbit.

Sebaliknya gambar kedua pula merujuk kepada dialog di antara pengadu wanita dan seorang yang digambarkan sebagai anggota polis.

Pihak polis menerima rakaman telefon bimbit untuk dijadikan bukti aduan rogol tersebut.

Siti Zailah turut mendakwa tindakan Utusan Malaysia itu meletakkan akhbar milik Umno itu setaraf dengan akhbar-akhbar Denmark yang pernah menimbulkan kontroversi menghina Nabi Muhammad SAW.

Sehubungan itu DMPP mahu editor Utusan Malaysia dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan menghina dan mempermainkan hukum Qazaf yang jelas termaktub dalam al Quran dan sunnah serta hukum jenayah Islam.

"Tindakan ini berlandaskan peruntukan Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 Akta 559," katanya yang juga ahli Parlimen Rantau Panjang.

Tanggungjawab Jawi

Sementara itu, Timbalan DMPP, Dr. Siti Mariah Mahmud menegaskan, mereka menunggu tindakan segera daripada pihak Jawi berhubung aduan dan memorandum yang diserahkan.

"Jawi bertanggungjawab menyiasat sebab kita dah buat aduan.

"Saya sebagai pengadu utama menunggu pihak Jawi memanggil saya untuk diambil keterangan.

"Kalau tak panggil saya untuk beri keterangan, saya mesti tahu kenapa (tak panggil)," katanya.

Tambahnya, tindakan Utusan Malaysia jelas mengelirukan fikiran rakyat khususnya orang Islam.

"Utusan Malaysia kata mereka pemangkin fikiran rakyat. Tapi kalau siarkan karikatur hina Islam ini,fikiran bagaimana yang mereka nak sebarkan?"katanya yang juga ahli Parlimen Kota Raja.

Dalam pada itu, DMPP kata Zailah menyokong penuh kempen boikot Utusan Malaysia (UM-NO) yang dilancarkan oleh Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat minggu lalu.

"Dewan Muslimat menyeru setiap ahli DMPP memboikot akhbar Utusan Malaysia secara total," katanya.

Tiada ulasan: