Isnin, 6 Jun 2011

Habuan atau harga diri pemain?

SINAR HARIAN ONLINE



KEBELAKANGAN ini, isu rasuah semakin ha­ngat, makin membarah dan didakwa menular semula dalam sukan bola sepak Malaysia. Mungkinkah gejala 1994 berulang dan adakah Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) akan mengharamkan pasukan bola sepak di negara ini.

Lihatlah apa terjadi pada 1994 dan 1995 apabila lebih 120 pemain, jurulatih dan pegawai disiasat polis kerana dakwaan mengatur keputusan perlawanan bola sepak menyebabkan hampir 60 pemain dan jurulatih dikenakan tindakan gantung setahun hingga empat tahun.

Seramai 21 pemain dan jurulatih diberhentikan, manakala beberapa pemain dibuang daerah dan tidak dibenarkan menyertai pertandingan bola sepak kelolaan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Kesannya, Malaysia kehilangan ramai pemain handalan.

Kelompok pemain yang didakwa pada tahun itu adalah antara yang terbaik pernah dilahirkan oleh negara. Ia juga punca sebahagian besar minat penyokong setia bola sepak hancur.

Pada 2008, kerana rasuah lima pemain Sarawak dipanggil polis untuk memberi keterangan. Mereka berdepan hukuman gantung semua perlawanan tempatan dan antarabangsa.
Baru-baru ini, sebuah pasukan di utara tanah air berdialog mencari punca kemerosotan pasukan kesayangan mereka.

Cakap-cakap mulut pemain mengambil jalan pintas dengan menerima rasuah disebabkan gaji yang tidak cukup dan lambat dibayar majikan.

26 Mei lalu, Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) membuat laporan polis mengenai dakwaan isu mengatur perlawanan dalam kalangan pengurusan serta pemain Piala Presiden.

Peminat pastinya kecewa apabila semangat yang dibawa untuk menyaksikan perlawanan pasukan mereka sebenarnya didalangi ‘raja tangkal pengeras’ sehingga sorakkan menjadi sia-sia.

Jika gejala ini berterusan, yakinlah bola sepak Malaysia tidak akan mampu menjejak kaki walaupun di hadapan pintu stadium Piala Dunia.

Tiada ulasan: