Selasa, 14 Jun 2011

Dewan Rakyat tolak usul kematian Sarbaini

Hazayani Zakaria


KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini menolak usul yang dikemukakan Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) mengenai kematian Penolong Pengarah Kastam Selangor, Allahyarham Ahmad Sarbaini Mohamed di premis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) April lalu.

Timbalan Speaker, Datuk Ronald Kiandee yang menolak usul tersebut di bawah peraturan mesyuarat 18 (1) berkata ianya tidak perlu disegerakan kerana masih di bawah siasatan polis dan inkuesnya akan bermula 4 Julai depan.

Kit Siang (gambar) menghantar notis usul tersebut pada Jumaat lalu kepada Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia mendesak Parlimen membahaskan isu kematian Sarbaini ketika siasatan SPRM dengan menumpukan kepada dakwaan terbaru oleh editor portal Malaysia Today Raja Petra Kamaruddin.

Raja Petra dalam tulisan di blognya berkata polis telah menyiasat aset Ahmad Sarbaini dan mendapati dia tidak memiliki "kekayaan luar biasa" seperti yang didakwa.

"Ahmad Sarbaini hanya mempunyai Perodua Kancil, Honda CRV terpakai dan Proton Pesona serta motosikal Modenas Kriss yang ditunggang ke pejabat SPRM, hari kematiaannya.

"Tiada kekayaan luar biasa," katanya.

Ahmad Sarbaini, 56, yang bertugas di pejabat Kastam Pelabuhan Klang ditemui mati di gelanggang badminton di tingkat sebuah bangunan SPRM setelah dilapor pergi ke pejabat itu untuk bertemu pegawai penyiasat berhubung siasatan kes rasuah yang membabitkan 62 pegawai Kastam.

Tiada ulasan: