Ahad, 26 Jun 2011

Bir Halal: Majlis Fatwa Kebangsaan masih kaji

THE MALAYSIAN INISDER


Jamil terdahulu berkata umat Islam dilarang meminum bir berkenaan. — gambar fail

KUALA LUMPUR— Keputusan berkenaan isu “bir halal” hanya akan dibuat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan, kata Ketua Penolong Pengarah Bahagian Dakwah Jakim Mat Ali Sarbini.

Beliau berkata sehinggalah Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa mengenainya, bir berkenaan itu adalah haram untuk diminum oleh umat Islam.

Beliau berkata pada masa ini sampel bir berkenaan masih berada di makmal-makmal universiti tempatan untuk dikaji perincian kandungannya termasuk alkohol.

“(Keputusan) belum (ada) lagi. Masih dalam peringkat penyelidikan. Oleh kerana makmal ini mempunyai giliran-gilirannya, jadi banyak benda-benda yang perlu diberikan keputusan yang menjadi perhatian,” katanya dipetik Bernama Online.

Isu bir halal timbul sejak 28 Mei lalu selepas akhbar melaporkan penjualan bir berkenaan di pasaran semakin popular di kalangan umat Islam di negeri Johor dan penjualannya dikesan oleh Jabatan Agama Islam Johor.

Pada 29 Mei lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dilaporkan berkata umat Islam tidak dibenarkan meminum bir berkenaan kerana kandungan alkohol bir berkenaan sebanyak 0.5 peratus iaitu melebihi paras alkohol yang dibenarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan iaitu 0.01 peratus.

Minuman yang diimport dari sebuah negara Islam di Timur Tengah itu banyak terdapat di kafe-kafe di negara ini dan dijual antara RM3 hingga RM5 sebotol.

Tiada ulasan: