Isnin, 20 Jun 2011

Bersih 2.0: Kerajaan guna taktik takutkan rakyat, kata Pemuda PAS

THE MALAYSIAN INSIDER

Aksi penyokong Himpunan Bersih 2.0 ketika majlis pelancarannya di Kuala Lumpur semalam.
KUALA LUMPUR — Dewan Pemuda PAS pusat mendakwa kerajaan Barisan Nasional (BN) menggunakan taktik menakut-nakutkan rakyat bagi menghalang orang ramai daripada menyertai Himpunan Bersih 2.0 bulan depan.

Ketuanya Nasrudin Hasan berkata, hasrat aspirasi rakyat untuk memastikan proses pelantikan pemimpin negara menerusi lunas demokrasi dan pilihan raya yang adil serta telus sukar diterima oleh sebuah kerajaan yang angkuh.

“PAS bersama semua parti politik pembangkang serta pertubuhan bukan kerajaan yang menganggotai koalisi Bersih, bersiap sedia untuk berhimpun secara aman tanpa senjata untuk menyerahkan memorandum khas kepada Yang di-Pertuan Agong,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Sehubungan itu Nasrudin berkata, kerajaan perlu jelas bahawa perhimpunan 9 Julai ini hanya satu perhimpunan aman dan ia diambil daripada roh demokrasi yang diperuntukkan dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

“Ini bermakna, Perlembagaan yang dijunjung oleh seluruh rakyat Malaysia telah menjamin dan membenarkan hak yang diberikan kepada mereka. Oleh yang demikian, Bersih tidak melakukan tindakan yang bercanggah dengan undang-undang,” katanya lagi.

Kata beliau lagi selain mensinonimkan himpunan aman dengan himpunan haram dan himpunan yang boleh mencetuskan kekacauan dan ketidakstabilan, seolah-olah satu lagi teknik yang dicipta untuk menyekat himpunan aman iaitu “takutkan rakyat.”

Kata Nasrudin, teknik menakutkan rakyat dapat dilihat menerusi kenyataan Perkasa pada 13 Jun lalu, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar 15 Jun, Majlis Bekas Wakil Rakyat dua hari kemudian, Menteri Penerangan, Kebudayaan dan Komunikasi Datuk Seri Dr Rais Yatim dan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin pada 18 Jun serta Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin.

“Pada 19 Jun juga, Gagasan Anti Penyelewengan Selangor menuduh bahawa Bersih 2.0 tidak harus mencontohi perhimpunan rakyat di negara Asia Barat seperti Mesir, Syria dan Libya,” kata Nasrudin.

“Mereka cuba menafikan hak rakyat yang telah diiktiraf oleh Perlembagaan Persekutuan. Maka, kedaulatan undang-undang tersebut telah dicemari.

“Malah, apa yang diamalkan oleh kerajaan adalah undang-undang rimba,” katanya.

Nasrudin menambah kerajaan yang angkuh dan menggunakan kuasa fizikal untuk menekan hak rakyat tidak akan selama-lamanya berkuasa.

“Rakyat tidak boleh disekat kerana akal, budi dan jiwa mereka sebenarnya bebas,” katanya lagi.

Tiada ulasan: