Khamis, 23 Jun 2011

Bersih 2.0: Anak Muda Sayang M’sia sahut seruan

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Anak Muda Sayang Malaysia menyahut seruan Bersih untuk turun ke Kuala Lumpur pada 9 Julai ini bagi menyatakan sokongan kepada kelapan-lapan tuntutan Bersih.

Menurut jurucakap Anak Muda Sayang Malaysia, Muhammad Zaki Sukery, front itu terdiri daripada kelompok anak muda yang cakna dan prihatin kepada tadbir urus yang efisien dalam pengurusan pilihan raya.

“Sokongan ini secara langsung disebabkan oleh kesemua tuntutan yang dibuat oleh Bersih menjurus ke arah satu komitmen rakyat dalam usaha menzahirkan satu sistem pilihanraya yang telus, boleh dipercayai, bebas dan berwibawa,” katanya.

Menurutnya, ditambah dengan isu-isu yang tidak berkesudahan setiap kali berbicara soal pilihan raya terutama penglibatan undi hantu, tiada jaminan ketelusan dalam undi pos dan akses media yang berat sebelah, Anak Muda Sayang Malaysia melihat bahawa ia boleh diatasi dengan mengaplikasikan kesemua tuntutan yang dibuat oleh Bersih.

Beliau menambah, Anak Muda Sayang Malaysia turut melihat bahawa sebarang usaha untuk mengapi-apikan Bersih adalah berniat songsang dan tidak berpijak di alam realiti dengan bersandarkan kepada demonstrasi pertama Bersih pada November 2007 yang berlangsung dengan baik sehinggalah diprovokasi oleh pihak berkuasa dengan tembakan water canon dan sekatan jalan raya.

“Bertambah pelik, apabila keberadaan kita di sebuah negara beridealismekan demokrasi dan hak asasi manusia, tetapi layanan yang diberikan sama sekali berbeza kepada para demonstran jika melibatkan gerakan ala pro-Pakatan,” ujarnya lagi.

Katanya, Anak Muda Sayang Malaysia turut mempersoal SPR yang dilihat cuba bermain tarik tali dalam isu tuntutan Bersih 2.0 apabila berdalih dalam soal mekanisme pilihanraya dalam keadaan satu pun tuntutan dalam Bersih 1.0 tidak ditunaikan.

Beliuau berkata, dengan keyakinan kepada pendekatan penganjur Bersih untuk bergerak secara aman termasuk langkah-langkah yang telah diambil dalam menjayakan Bersih, Anak Muda Sayang Malaysia akan sekali lagi turun bersama-sama dalam Bersih 2.0 demi kepentingan rakyat marhaen.

“Oleh yang demikian, front ini akan memobilasi lebih kurang 10,000 anak muda di kampus di seluruh negara dan turut mensasarkan anak muda yang tidak berada di lapangan universiti untuk turun di bawah payungan Anak Muda Sayang Malaysia sebelum turut sama menyertai kumpulan utama Bersih,” ujarnya.

Sambil mempromosikan tagline Anak Muda Turun Bersih, tambahnya Anak Muda Sayang Malaysia turut menjemput kepada kesemua anak muda untuk turut sama menyertai facebook ‘Anak Muda Sayang Malaysia’ dengan menekan butang ‘Like’ sebagai tanda solidariti dalam menyokong kesemua tuntutan Bersih dan turun bersama pada 9 Julai nanti.

Tiada ulasan: