Khamis, 23 Jun 2011

Bersih 2.0: Ambiga, tiga lain buat aduan ugutan bunuh




KUALA LUMPUR— Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) 2.0, Datuk Ambiga Sreenavesan berkata beliau dan rakan-rakannya tidak gentar dengan ugutan bunuh yang diterima semalam dan bertekad untuk meneruskan perhimpunan yang dirancang untuk diadakan pada 9 Julai ini.

Ambiga (gambar) memberitahu tiada sebab untuk dirinya berasa takut atas ugutan tersebut kerana laporan polis telah dibuat dan beliau menyerahkan kepada pihak polis untuk membuat siasatan.

“Saya menerima SMS ugutan ini pada pukul 9.30 malam (tadi). Bukan saya sahaja yang dapat SMS ini, tetapi (ahli) jawatankuasa yang lain juga turut menerima,” katanya selepas membuat laporan polis bersama lima individu lain yang menerima SMS ugutan sama di Balai Polis Jalan Travers di sini hari ini.

Ugutan dalam bentuk SMS itu antara lain berbunyi “aku dan orang-orang aku akan bunuh Ambiga dan kau orang keliling, satu persatu termasuklah orang-orang politik...”

Selain Ambiga, antara yang menerima SMS tersebut ialah Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Khairul Anuar Ahmad Zainudin, ahli jawatankuasa Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah dan peguam PKR, Latifah Koya.

Selain itu, Ambiga berkata SMS ugutan ini juga tidak akan mematahkan semangat beliau dan ahli jawatankuasanya daripada meneruskan perhimpunan tersebut.

Katanya, “mengenai SMS ini, saya percaya polis akan menyiasat dan dapat mengesan siapa penghantarnya kerana kami ada nombor telefon penghantar itu.”

“Bersih akan tetap diteruskan. Tiada perubahan. Kita akan buat seperti biasa secara aman,” katanya.

Bersih 2.0 bersama Pakatan Rakyat dan aktivis parti bersedia menggerakkan perhimpunan menuntut pilihan raya adil dan bersih pada 9 Julai.

Selain Bersih, Perkasa dan Pemuda Umno turut akan mengadakan perhimpunan balas membantah penganjuran Himpunan Bersih 2.0.

Tiada ulasan: