Ahad, 12 Jun 2011

Akhbar Umno dakwa Himpunan Bersih 2.0 kotor

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Mingguan Malaysia, akhbar milik Umno menyifatkan Himpunan Bersih 2.0, anjuran Pakatan Rakyat dengan kerjasama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bulan depan, sebagai tindakan “kotor” dan mahu orang ramai memulaukan kempen tersebut.

Himpunan itu, yang kedua selepas akhir 2007, diadakan untuk menuntut pilihan raya yang bersih dan adil.

Dalam ruangan mingguannya, Awang Selamat berkata, pelbagai pihak melahirkan kebimbangan terhadap perhimpunan Bersih 2.0 yang dirancang oleh Pakatan Rakyat dan NGO propembangkang di ibu negara, 9 Julai ini.

Akhbar itu juga mendakwa berdasarkan pengalaman lama himpunan itu akan memberi implikasi buruk dan menyusahkan rakyat, menjejaskan aktiviti pelancongan dan menggugat ketenteraman awam.

“Tetapi semua itu tidak diambil kira oleh pembangkang. Matlamat menghalalkan cara,” kata Awang Selamat yang turut mengaitkan dengan keputusan pemilihan PAS dan Mohamad Sabu yang dipilih sebagai timbalan presiden yang baru.

“Kali ini, penganjur Bersih berhasrat menghimpunkan 300,000 peserta demonstrasi bagi menuntut pilihan raya yang adil dan bersih,” kata akhbar itu sambil menambah, agenda tersirat ialah mencetuskan ketegangan dengan membakar sentimen rakyat bagi meraih keuntungan politik.

“Apatah lagi imej pembangkang merudum kebelakangan ini, yang memerlukan gerakan seperti Bersih untuk bangkit,” katanya lagi.

Akhbar itu juga membawa laporan muka depan dengan kenyataan pelbagai pihak termasuk Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali.

Mingguan Malaysia dan Utusan Malaysian merupakan produk keluaran Kumpulan Utusan.

Dalam ruangannya Awang Selamat juga mendakwa lebih menimbulkan persoalan ialah perhimpunan itu turut didalangi oleh NGO yang anti-Islam dalam pemikiran dan tindak-tanduk mereka.

Kata Awang Selamat, penyertaan PAS lebih sekadar pak turut kerana golongan proketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim atau “Anwarinas” sudah menguasai parti itu.

“Timbalan Presiden PAS yang baru, Mohamad Sabu pula mahu menjadikan perhimpunan itu bagi membuktikan kebolehan dan pengaruh beliau.

“Bagi PKR, Bersih akan menjadi suntikan baru kepada mereka yang amat lemah sekarang. Sementara pemimpin DAP seperti Lim Kit Siang, akan tersenyum puas kerana rata-rata yang menyertai Bersih sudah tentunya orang Melayu. Begitulah dangkalnya Melayu berpolitik, yang faedah besarnya dinikmati kaum lain,” katanya.

Malah Awang Selamat juga mendakwa “orang yang paling gembira di sebalik perhimpunan itu nanti ialah Anwar.”

Katanya, ia satu lagi peluang bagi mengalih isu sebenar iaitu masalah moral beliau yang hangat diperkatakan dan “menghasut rakyat menerusi demonstrasi jalanan adalah ‘kepakaran’ beliau sebagaimana yang dimulakan selepas dipecat daripada kerajaan.”

Akhbar itu memetik Hishammuddin sebagai berkata beliau khuatir perhimpunan Bersih 2.0 boleh mengakibatkan huru-hara apabila berlaku pertembungan antara kumpulan penyokong dan penentang demonstrasi jalanan itu.

“Saya tengok orang yang tidak bersetuju dengan Bersih juga hendak buat perhimpunan dan banyak permintaan yang tak bersetuju dengan Bersih.

“Polis dan KDN (Kementerian Dalam Negeri) akan pantau jangan sampai huru-hara negara kita ini kalau dua pihak iaitu yang menyokong dan menentang, bertembung,” katanya di Alor Setar semalam.

Hishammuddin berkata, pihaknya akan bertindak jika berlaku pertembungan antara dua pihak itu hingga menjejaskan keselamatan.

Ibrahim, Ahli Parlimen Bebas dari Pasir Mas merayu penganjur Himpunan Bersih membatalkan hasrat untuk berhimpun pada 9 Julai ini bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.

Pada masa yang sama, mereka memberi amaran keras dan akan bertindak balas terhadap penganjur perhimpunan tersebut sekiranya rayuan supaya membatalkan rancangan tersebut tidak diendahkan.

Tiada ulasan: