Ahad, 14 November 2010

SPRM tahan penolong pengarah JPJ, empat lagi kutip dana ‘haram’

KUALA LUMPUR — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang penolong pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana menggunakan kepala surat agensi itu untuk mengutip RM660,000 kononnya bagi membiayai majlis yang tidak wujud langsung.

Pegawai kanan itu merupakan antara lima ditahan hari ini dan akan direman sehingga 18 November. Daripada lima tahanan itu, dua merupakan pegawai JPJ manakala tiga lagi adalah orang awam, kata Pengarah SPRM Negeri Sembilan Hishamudin Hashim kepada The Malaysian Insider ketika dihubungi petang ini.

Kes kelima-lima membabitkan pengeluaran surat permohonan oleh Kelab Sukan dan Kebajikan JPJ Negeri Sembilan untuk sumbangan majlis mesra JPJ Negeri Sembilan tetapi majlis itu tidak diadakan.

Difahamkan wang telah dikeluarkan dari akaun atas nama Majlis Mesra JPJ Negeri Sembilan, dan disyaki diagihkan di kalangan suspek.

Tiga orang awam itu bertindak sebagai pemungut sumbangan.

Mengulas lanjut, kata Hishamudin, SPRM sedang meneliti kewujudan satu sindiket yang memperoleh surat kepala daripada pegawai-pegawai JPJ untuk mengutip dana bagi majlis yang tidak diadakan, malah tidak diluluskan oleh agensi itu.

Tambah beliau, kedua-dua pegawai JPJ terbabit “memperoleh” dana antara Jun hingga Oktober lalu dan jumlah itu mencecah RM660,000 akhir bulan lalu.

“Mereka akan dibawa ke Mahkamah Majistret tidak lama lagi, agar nama dan identiti mereka akan didedahkan,” kata Hishamudin.

SPRM percayai bahawa lebih ramai terlibat dan tidak menolak kemungkinan akan ada lagi tangkapan selepas ini.

“Oleh kerana kami percaya ini membabtikan sindiket, kami juga percaya lebih ramai lagi terlibat. Lebih ramai akan ditahan selepas siasatan,” kata Hishamudin tetapi enggan mengulas lanjut.

Sejak kebelakangan ini, SPRM berusaha keras untuk menangani kes-kes rasuah dalam perkhidmatan awam tetapi beberapa kes berprofil tinggi dibuang ekoran tidak cukup bukti.

Tiada ulasan: