Sabtu, 13 November 2010

Rogol pelajar: Persatuan ibu bapa dan guru pedalaman kutuk perbuatan lima remaja

KENINGAU KINI

KENINGAU: Persatuan-persatuan ibu bapa dan guru di kawasan pedalaman, mengutuk keras perbuatan lima remaja lelaki merogol seorang pelajar tingkatan empat di Nabawan pada 13 Oktober lepas.

Wakil persatuan, Mohd Khairil Abdullah, 42, memberitahu dalam satu kenyataan, perbuatan 5 remaja lelaki itu sebagai tidak bertamadun dan akal mereka lebih rendah daripada binatang.

“Masyarakat pedalaman mengutuk keras perbuatan ini,” katanya dan menambah, tindakan keras perlu diambil ke atas kelima-lima remaja terbabit.

Khairil yang merupakan pengerusi PIBG SK. Panagatan berkata, masa depan pelajar itu musnah disebabkan perbuatan tidak bertamadun remaja lelaki itu.

Sambil bertanya, ‘apa sudah terjadi dengan remaja masa kini’, Khairil menegaskan institusi keluarga masyarakat pada hari ini mulai goyah.

“Kes-kes yang tidak dijangka seperti ini berlaku antara masyarakat tempatan,” jelasnya dan berkata;

“Ia menimbulkan ketakutan kepada ibu bapa di pedalaman,”.

Keningau pada Selesa digemparkan dengan pengakuan seorang pelajar remaja di salah sebuah sekolah menengah Nabawan, yang dirogol oleh lima lelaki selepas tidak sedarkan diri kerana dipaksa minum, minuman keras jenis montoku pada 13 Oktober lalu.

Ketua polis Keningau DSP Zahari Mohamad memberitahu pada Selasa, kejadian itu berlaku kira-kira jam 12 tengah hari.

Zahari berkata, mangsa yang hanya membuat aduan kepada polis pada Isnin berkata, pelajar berumur 16 tahun itu yang berasal dari salah sebuah kampung di Sepulut, diperdaya oleh kelima-lima remaja lelaki itu untuk menaiki kenderaan pacuan empat roda jenis wagon, semasa mangsa menunggu abangnya untuk menjemput pulang dari sekolah berhampiran.

Mangsa dipercayai dimabukkan sebelum dirogol dan gambarnya dirakam.

Khairil yang kecewa dengan kejadian itu, mengajak masyarakat di pedalaman supaya memberi sokongan ke atas mangsa.

“Kelima-lima remaja lelaki itu telah meragut maruah dan masa depan mangsa,” tambahnya.

Sementara itu gerakan memburu kelima-lima lelaki itu sedang dilakukan, dan polis mengesahkan sudah memperolehi petunjuk untuk memberkas kesemua mereka pada bila-bila masa.

Polis turut merayu kepada orang ramai supaya memberi maklumat tempat persembunyian suspek, dan menghubungi polis melalui talian 087-332222 pada bila-bila masa, sekiranya memperolehi sebarang maklumat kelima-lima remaja lelaki tersebut.

Tiada ulasan: