Rabu, 24 November 2010

Pilihan Raya Negeri Selangor bukan dalam masa terdekat

BERNAMA

SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyatakan perihal pilihan raya negeri tersebut tidak akan berlaku dalam masa terdekat kerana yakin mandat kerajaan yang sedia ada masih panjang.

Beliau berkata Anggota Dewan Undangan Negeri Selangor yang dipilih pada pilihan raya umum lepas memerlukan masa yang secukupnya untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Saya berpandangan pilihan raya negeri Selangor perlu diadakan dalam tempoh empat tahun selepas Dewan Undangan Negeri dibubarkan. Pilihan raya tidak harus diadakan terlalu awal dalam usaha memberi peluang kepada wakil rakyat membalas kepercayaan pengundi untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada mereka,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan dan Sambutan Hari Inovasi Pentadbiran Kerajaan Selangor Tahun 2010 di sini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada kerajaan negeri bersedia mengadakan pilihan raya negeri dalam masa terdekat.

Abdul Khalid berkata kerajaan tidak perlu mengadakan pilihan raya terlalu awal yang mana membebankan rakyat dan ia merupakan satu pembaziran.

Tiada ulasan: