Selasa, 23 November 2010

Nombor plat 'MCA' dibuka untuk tempahan esok

BERNAMA

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membuka tawaran nombor pendaftaran kenderaan siri "MCA 1" hingga "MCA 999" bermula 8 pagi esok dan berakhir 12 tengah hari 14 Disember ini.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan, berkata orang awam yang berminat bolehlah memasukkan tawaran itu ke dalam peti tawaran di Jabatan Pengangkutan Jalan Melaka, Kompleks JPJ Bukit Katil, Melaka.

Borang Tempahan Nombor Pendaftaran (MV 10) boleh didapati di pejabat JPJ Negeri/Cawangan atau boleh dimuat turun melalui laman sesawang JPJ (www.jpj.gov.my).

Panduan dan syarat mengenai tawaran tempahan nombor pendaftaran terkandung dalam borang itu.

Solah berkata, tawaran nombor pendaftaran siri "MCA" akan diumumkan selepas dua minggu dari tarikh tutup tawaran.

Pada 23 September lalu, Solah berkata pihaknya menerima surat rasmi bertarikh 17 Februari 2010, dari setiausaha sulit kanan, Menteri Pengangkutan ketika itu, Datuk Seri Ong Tee Keat, mengarahkan JPJ tidak membuka tender nombor pendaftaran tersebut untuk tawaran umum.

Bagaimanapun Ong kemudian menafikan perkara itu dan berkata beliau telah minitkan kepada setiausahanya bahawa permohonan tersebut tidak dipersetujui kerana tidak wajar dan tidak digalakkan, termasuk pada negeri lain.

"Apa yang dihebohkan oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha, adalah surat yang bertarikh 17 Februari tahun ini yang ditandatangani oleh Setiausaha Sulit Kanan saya pada ketika itu.

"Pada tarikh tersebut, saya masih bercuti sakit selepas pembedahan tumit saya. Tiada sebarang keputusan utama dibuat dan saya balik bertugas pada awal Mac," kata Ong.


Tiada ulasan: