Rabu, 10 November 2010

Melaka dahului Pulau Pinang tarik pelancong

BERNAMA


Melaka yang telah mendahului Pulau Pinang sebagai destinasi tarikan pelancong terkemuka di negara ini akan terus memperkenalkan produk pelancongan baru khususnya yang melibatkan sejarah.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata rekod menunjukkan bilangan pelancong yang melawat Melaka meningkat kepada 8.9 juta tahun lalu berbanding 7.8 juta pada 2008 manakala kehadiran pelancong ke Pulau Pinang, sebuah negeri yang mempunyai 191 penerbangan antarabangsa setiap minggu, hanya 5.5 juta orang tahun lalu.

Bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Ali Ahmad di Kangar, malam semalam, beliau
berkata Melaka akan terus mengorak langkah yang lebih hebat dalam sektor pelancongan.

Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen baru-baru ini berkata Pulau Pinang yang mempunyai pelbagai kemudahan dan tarikan pelancongan telah ketinggalan dalam sektor itu berbanding Melaka.

Mohd Ali berkata antara faktor yang menjadikan Melaka sebuah destinasi pelancongan menarik ialah sejarah negeri itu, kebersihan bandar dan keramahan penduduknya.

Sebelum itu, beliau menyampaikan sumbangan kewangan berjumlah RM25,000 kepada mangsa-mangsa banjir di seluruh Perlis di samping sumbangan pelbagai barangan keperluan mangsa banjir bernilai RM53,000.

Sumbangan disampaikan kepada semua wakil rakyat yang kawasan mereka terbabit dengan banjir. Yang turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Md Isa Sabu.


Tiada ulasan: