Jumaat, 12 November 2010

Kemelut PKR: Shamsul cabar Zaid berdebat

BERNAMA


Shamsul Iskandar
JOHOR BARU — Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin menyelar bekas Pengerusi Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wilayah Persekutuan Datuk Zaid Ibrahim kerana menggunakan media untuk menyerang kepimpinan parti itu.

Berikutan itu, beliau mencabar Zaid untuk berdebat secara terbuka mengenai kepimpinan Keadilan dengannya.

“Tetapkan tempat dan tarikh, pilih mana-mana medium yang dia suka, saya bersama pimpinan Angkatan Muda akan hadir bagi menceritakan perkara sebenar kepada beliau.

“Tiada guna jika perkara ini dihebahkan kepada media,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri perjumpaan tertutup bersama Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini semalam.

Beliau menyifatkan tindakan Zaid itu mempunyai niat jahat untuk menjatuhkan kepimpinan PKR yang sedia ada.

Pada Isnin lepas Zaid mengumumkan keputusannya untuk menarik diri daripada pemilihan parti dan juga melepaskan semua jawatan dalam PKR dengan alasan “terdapat penipuan dalam pemilihan”.

Beliau kemudian meminta Anwar berundur dari parti itu.

Zaid berkata menjadi tanggungjawab kepimpinan parti untuk menyiasat laporan mengenai dakwaan penyelewengan dalam pemilihan dan bukan dirinya yang harus membuktikan kepada Anwar mengenai penyelewengan itu.

Mengenai gesaan Zaid agar Naib Presiden PKR, Azmin Ali dan Anwar keluar PKR untuk menyelamatkan parti itu, Azmin berkata keputusan itu terletak pada tangan semua anggota parti dan bukannya mana-mana individu.

Sementara itu, Anwar memuji prestasi pengerusi PKR Johor, Datuk Chua Jui Meng sehingga kini.

Menurutnya, Chua berjaya membuktikan kepimpinannya dengan menarik 23 daripada 24 cabang PKR Johor ke majlis perjumpaan tersebut.

Ketika ditanya, Chua berkata wakil cabang Sri Gading tidak hadir ke perjumpaan itu walaupun notis telah diberikan.

Katanya, beliau tidak tahu mengapa wakil cabang itu tidak hadir, namun akan meminta penjelasan dari mereka kemudian.

Kelmarin, lima ahli dari cabang Sembrong bertindak meletak jawatan dalam parti kerana dikatakan tidak berpuas hati terhadap kepimpinan Chua dan pemilihan parti.

Mereka adalah Ketua Cabang, Saiman Marjuki; Naib Ketua, Abdul Aziz Abdul Kadir; Ketua Wanita, Noraini Abdul Kadir; dan dua ahli jawatankuasa.

9 ulasan:

mantra berkata...

lebih baik mereka berbincang bagi menyelesaikan kemelut yang berlaku.

samm berkata...

adakah dengan mengadakan debat masalah yang berlaku akan dapat diselesaikan?

samm berkata...

PKR seharusnya mencari jalan lain jika ingin benar-benar menyelesaikan masalah yang timbul. mereka sepatutnya melakukan siasatan atau perbincangan dan bukannya mengadakan debat.

nickko berkata...

dimana letaknya sikap profesional zaid? hanya disebabkan kalah kepada Azmin beliau sanggup mengamuk dalam PKR. kenapa tidak bawa masalah ini ke meja perbincangan yang lebih tertutup dan lebih bersifat penyelesaian? kenapa perlu didedahkan? zaid adalah duri dalam daging yang perlu disingkirkan sebelum beliau membawa kemusnahan yang lebih teruk.

nickko berkata...

kalau zaid benar2 berada dipihak yang benar, sahutlah cabaran shamsul untuk berdebat...

Anak Sabah berkata...

Bagus juga kalau berdebat, mungkin dengan cara ini rakyat akan mendapat lebih banyak penjelasan.

Anak Sabah berkata...

Diharapkan Zaid menerima cabaran Shamsul.

Tanpa Nama berkata...

bgslah mereka berdebat, dgn ini, mgkin segala masalah dpt diselesaikan.

Antanum berkata...

Zaid jika anda berada di landasan yang betul anda tidak perlu menolak sahutan untuk berdebat.