Rabu, 10 November 2010

DUN Selangor bahas usul Adun Sekinchan ‘dipukul’ petang ini

SHAH ALAM — Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Teng Chang Khim membenarkan usul berhubung insiden Adun Sekinchan Ng Suee Lim dibelasah minggu lalu di bahagian Parlimen Tanjong Karang dibahaskan petang ini.

Usul itu diterima selepas Adun Rawang Gan Pei Pei memaklumkan DUN Selangor bahawa Ng dipukul oleh Datuk Shafie Asmawi, Setiausaha Politik kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar, Khamis lalu.

“Saya berpuas hati dengan usul tersebut berdasarkan Seksyen 17(1) Peraturan-Peraturan Dewan iaitu berkenaan kepentingan orang ramai yang perlu disegerakan... saya dengan ini menangguhkan usul ini sehingga pukul 2.30 petang (untuk dibahas),” kata Teng.

Terdahulu, Gan turut menggesa agar DUN mengutuk Polis Diraja Malaysia kerana tiga anggotanya yang berada di tempat kejadian hanya menyaksikan Ng dipukul oleh Shafie dan beberapa orang dipercaya dari Umno.

Bagaimanapun, Noh sebelum ini dilaporkan menganggap tindakan Ng memasuki kawasan Tanjong Karang sebagai perbuatan ‘kurang ajar’.

Noh menafikan dakwaan Ng kononnya aksi samseng di kampung Sawah Sempadan itu dilakukan oleh ahli Umno.

Semalam, Ng berkata beliau pergi ke kampung tersebut untuk bertemu sekumpulan petani, bukan membuat kekecohan atau demonstrasi di kawasan Noh.

Noh juga merupakan Timbalan PengerusiUmno Selangor.

Ng dari DAP dimasukkan hospital selepas mendakwa ditumbuk oleh 30 orang.

Dalam laporan polis sebelum ini, Ng mendakwa dipukul oleh sekumpulan yang disyakinya ahli Umno Tanjong Karang ketika bertemu dengan petani kawasan itu bagi mendengar rintihan tentang isu harga padi.

Tiada ulasan: