Ahad, 14 November 2010

'Anu dalam botol': PAS mahu penjelasan

MALAYSIA KINI


Dewan Pemuda PAS menyatakan kekesalannya dengan penerbit dan pengarah filem terkenal Raja Azmi Raja Sulaiman yang bersungguh-sungguh ingin menayangkan filem ...Dalam Botol yang didakwa berunsurkan tema gay.

Sehubungan itu, Ketuanya Nasrudin Hassan mahukan Raja Azmi menjelaskan apakah motif utama pembikinan dan penyiaran filem berkenaan?

"Adakah ia merupakan isu atau fokus penting dikalangan masyarakat terutamanya golongan belia pada hari ini?

"Malah, Pemuda PAS juga hairan mengapa pihak beliau pada asalnya menamakan judul filem berkenaan Anu Dalam Botol?

Dalam satu kenyataan hari ini, Nasruddin berkata, walaupun dalam perbahasan fekah seksualiti bukanlah tabu, tetapi daripada sudut perfileman, industri itu mestilah membangunkan minda masyarakat dengan penerbitan filem "berkualiti" dan canggih.

Menurut takrif dewan itu, filem yang berkualiti terhasil melalui jalan cerita atau pengisian yang yang menjadikan masyarakat lebih baik.

Menurut Nasrudin lagi, sesuatu karya juga mesti kira pertimbangan agama, budaya dan nilai yang perlu diterapkan kepada masyarakat.

"Pihak DPPP berharap agar industri perfileman giat memproduksi filem-filem yang memberikan nilai-nilai positif selain menyentuh isu yang melibatkan kepentingan umum supaya ia dapat menjadi agen yang efektif untuk membantu negara dalam melahirkan rakyat yang tinggi nilai jatidirinya, kukuh pegangan agama dan prinsipnya, hidup dalam budaya ilmiah serta kuat sifat patriotiknya," katanya.

Bantahan terbaru Pemuda PAS terhadap isu filem itu dilihat selari dengan perhimpunan bantahan mereka terhadap konsert artis 'gay' terkenal Amerika Syarikat Adam Lambert di Kuala Lumpur sebelum ini.

Raja Azmi sebelum ini dilaporkan berkata, ...Dalam Botol merupakan inspirasi kisah benar yang mengisahkan 'derita' mereka yang bertukar jantina tetapi ingin kembali kepada asal.

Tiada ulasan: