Jumaat, 12 November 2010

Ambil alih saham Star, MCA didakwa CBT

MALAYSIA KINI


Seorang ahli MCA hari ini membuat laporan polis supaya menyiasat kemungkinan berlaku pecah amanah oleh pemimpin parti itu berhubung pembelian 42.4 peratus saham dalam Star Publications (M) Sdn Bhd oleh badan pelaburannya.

Laporan polis itu dibuat oleh naib pengerusi MCA cawangan Bukit Pasar, Hui Huat di balai polis Seremban semalam.

Dalam laporannya, Hui mendakwa amalan MCA memiliki saham berkenaan daripada badan pelaburannya, Huaren Holdings, adalah bercanggah dengan perlembagaan parti.

“Pemindahan saham ini tidak mendapat kebenaran mesyuarat agung khas (EGM) MCA. Pembelian dan pemindahan saham adalah di atas arahan majlis presiden. Tetapi mengikut Artikel 47, Perlembagaan MCA, majlis presiden tiada kuasa membuat keputusan pembelian,” laporan polis itu dipetik.

Katanya, pembelian itu juga tidak mendapat pengesahan Jawatankuasa Pusat MCA, seperti yang disyaratkan oleh Artikel 45.9 perlembagaan parti berkenaan.

“Oleh hal demikian, pembelian ini adalah satu penyelewengan kuasa yang tidak dibenarkan di bawah Perlembagaan MCA. Transaki pembelian saham ini adalah void ad initio dan satu tindakan pecah amanah terhadap ahli-ahli MCA,” katanya lagi dalam laporan itu.

Menurut Hui, keputusan parti memiliki saham daripada Huaren Holdings yang dimiliki sepenuhnya oleh parti itu sebenarnya adalah tindakan yang tidak diperlukan dan sehubungan itu, mencurigakan.

Katanya, kegagalan mengadakan EGM bagi membahaskan perkara itu, juga melanggar tanggungjawab fidusiari.

Ketika dihubungi untuk ulasan lanjut, Hui berkata parti itu berdepan dengan 'precedence' di mana pembelian besar perlu melalui kelulusan perhimpunan agung parti.

“Semasa zaman (bekas presiden Tun Dr) Ling Liong Sik (pertama dari kiri), EGM diadakan sebelum parti membeli kumpulan penerbitan Nanyang. Tetapi kali ini tidak,” katanya.

Hui juga berkata beliau akan membuat aduan yang sama kepada Pendaftar Pertubuhan kerana ia membabitkan perlembagaan parti.

Pada 5 November lalu, MCA mengesahkan ia memindahkan 313,315,769 saham bernilai RM1 seunit Star Publishing daripada Huaren Holdings kepada parti itu, pada nilai pasaran lebih kurang RM1.3 bilion.

Tiada ulasan: