Rabu, 11 Ogos 2010

Pengendali gerai R&R persoal polisi Plus

Dzulfikar Mashoor

SUBANG: Lebih 50 pengendali gerai makan di Hentian Rawat dan Rehat (R&R) petang tadi menyuarakan bantahan terhadap pengurusan tertinggi Plus Expressways Berhad.

Bantahan tersebut ekoran polisi terbaru Plus mengenakan caj komisyen 5 peratus dari hasil jualan kasar dianggap membebankan mereka yang terbabit.

Difahamkan, polisi terbaru itu berkuatkuasa sejak 15 Julai lalu apabila Plus memperkenalkan sistem point of sales (P.O.S) di setiap gerai makan, di sepanjang R&R Lebuh raya Utara-Selatan.

Berdasarkan notis Ketua Jabatan Komersial, Muhammad Khatib Khalid pada 29 Jun lalu, Plus menegaskan bahawa pihaknya mempunyai kuasa mutlak untuk berbuat demikian berdasarkan Klausa 10.18 Perjanjian Pengendalian Gerai yang ditandatangani sendiri oleh mereka yang terbabit.

Jurucakap Plus memberitahu bahawa caj komesyen itu sekadar menampung kos prasarana sistem P.O.S.

Namun, mereka yang hadir mempersoal jumlah 5 peratus yang ditetap kerana mereka pada masa yang sama masih diminta membayar kos sewaan lain.

Tiada ulasan: