Selasa, 3 Ogos 2010

Mahathir terkilan ramai masih tidak faham 1 Malaysia



Mahathir: Masing-masing ada pendapat berbeza dan tidak boleh disatukan, saya berpendapat satu penjelasan perlu dibuat
THE MALAYSIAN INSIDER

GEORGE TOWNata, penjelasan terperinci dan menyeluruh berhubung slogan 1 Malaysia, yang diperkenalkan pentadbiran Najib lebih setahun lalu, wajar diberi bagi mengelak pandangan berbeza di kalangan masyarakat pelbagai kaum.

“Saya bercakap dengan orang Cina, orang Melayu, masing-masing ada pendapat berbeza dan tidak boleh disatukan, saya berpendapat satu penjelasan perlu dibuat,” kata bekas perdana menteri kepada pemberita di sini hari ini.

Dr Mahathir, yang juga Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) berkata demikian pada sesi soal jawab sempena Multaqa Yang Dipertua Perkim bersama Guru-guru Pendidikan Islam dan warga Perkim peringkat zon utara di sini hari ini.

“Mereka (rakyat) tidak tahu yang mana satu, yang mana untuk orang Cina dan yang mana untuk orang Melayu. Kalau suruh saya buat penjelasan, mana saya tahu bukan saya yang buat slogan itu,” kata bekas presiden Umno ini dipetik Bernama.

Pada 9 Julai lalu, hasil kajian dikeluarkan firma kajian pendapat umum, Merdeka Center juga menunjukkan konsep 1 Malaysia tidak popular di kalangan bukan Bumiputera.

Menurut penemuan itu, kalangan bukan Bumiputera menganggap ia hanya satu usaha Barisan Nasional (BN) mahu memikat sokongan bukan Melayu dan Bumiputera.

Hasil kajian itu berkata hanya 39 peratus masyarakat bukan Bumiputera menerima konsep 1 Malaysia walaupun sudah lebih setahun diperkenalkan.

“Sementara 46 peratus mendapati ia (konsep 1 Malaysia) hanya satu taktik untuk memenangi sokongan politik bukan Melayu manakala 16 peratus mengatakan mereka tidak mengetahuinya atau enggan menjawab soalan ini,” kata Pengarah Eksekutif Merdeka Center, Ibrahim Suffian menjelaskan penemuan kajian itu.

Konsep 1 Malaysia diperkenalkan oleh Najib sebagai gagasan pentadbirannya 15 bulan yang lalu. Najib mengangkat sumpah sebagai perdana menteri keenam awal April 2009.

Pada Mac lalu, kajian Jabatan Penerangan mendapati rakyat keseluruhan tahu kewujudan konsep 1 Malaysia tetapi masih belum mencapai kefahaman penuh tentang konsepnya.

Kajian yang dibuat jabatan itu mendapati 80 peratus daripada rakyat negara ini mengetahui berkenaan 1 Malaysia, namun penjelasan mereka tidak menggambarkan pemahaman penuh berkenaan intipati gagasan itu.

Ketika diminta mengulas mengenai kes bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik yang dituduh di mahkamah berhubung kes projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), Dr Mahathir berkata tidak ada sesiapa boleh terlepas daripada proses undang-undang sama ada golongan kenamaan ataupun bukan.

“Itu baru dakwaan, sama ada benar atau tidak, terpulang kepada pihak yang bertanggungjawab menjelaskan. Jika dia tidak salah, harap peguamnya dalam membuktikannya,” katanya.

Dr Ling, 67, didakwa di Mahkamah Sesyen Putrajaya pada Jumaat lepas terhadap tuduhan menipu kerajaan Malaysia untuk memberi persetujuan pembelian tanah di Pulau Indah di Pelabuhan Klang bagi pembinaan projek “Mega Distribution Hub” yang kini dikenali Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) pada 2002.

Beliau didakwa memperdaya Jemaah Menteri supaya bersetuju dengan terma yang dipersetujui antara Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) dan Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) yang dengan curang menyembunyikan fakta berhubung penilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Kementerian Kewangan bagi tanah terbabit.

Dr Ling merupakan Menteri Pengangkutan ketika era kepimpinan Dr Mahathir.

Tiada ulasan: