Sabtu, 21 Ogos 2010

KSSB, SPRM setuju tubuh pasukan khas

Harakahdaily
SHAH ALAM: Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersetuju untuk menubuhkan Pasukan Petugas Khas bagi membanteras rasuah perlombongan pasir di Selangor.

Persetujuan itu dicapai pada pertemuan antara Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan SPRM di pejabatnya di sini, semalam.

Pertemuan itu disertai Setiausaha Politiknya, Faekah Husin, Ketua Pengarah Eksekutif KSSB, Wan Ab Halim Wan Ismail dan Pengarah Eksekutif KSSB, Ir Ramli Majed.

Manakala SPRM pula diwakili, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Datuk Sutinah Sultan, Pengarah Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan, Shaharuddin Khalid, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Jaafar Maahad dan Ketua Unit Pemeriksaan dan Perundingan SPRM Selangor, Mohd Noor Abd Rahman.

Pertemuan itu diadakan susulan pelawaan Kerajaan Selangor kepada SPRM untuk menempatkan kakitangan dan pegawai di KSSB bertujuan membanteras rasuah.

Pasukan Petugas Khas ini dicadang dianggotai pegawai KSSB dan SPRM.

Sehubungan itu, Menteri Besar berkata, KSSB akan mengadakan taklimat mengenai operasi mereka kepada SPRM termasuk prosedur dan kaedah-kaedah yang dipratikkan dalam perlombongan pasir.

Selain itu, SPRM juga akan didedahkan dengan sistem-sistem yang diguna pakai oleh KSSB dan diajar untuk memahami urus niaga pasir yang dipratikkan oleh anak syarikat kerajaan Selangor tersebut.

Abdul Khalid berkata, kerajaan Selangor menyambut baik kesediaan SPRM kerana kerajaan negeri mengamalkan pentadbiran yang telus dan bertanggungjawab.

“Kita berterimakasih kepada SPRM kerana mahu bersama Kerajaan Negeri bagi memastikan operasi perlombongan dan perniagaan pasir bebas dari unsur rasuah,” katanya.

Beliau berkata, apabila Pasukan Petugas Khas ini ditubuhkan, SPRM lebih bebas untuk memantau perjalanan operasi KSSB.

Pada pertemuan itu juga, Abdul Khalid telah diberitahu bahawa SPRM sedang memantau lebih dekat operasi perlombongan pasir di beberapa negeri termasuk di Selangor.

Kerajaan negeri berharap, SPRM boleh mencadangkan prosedur yang boleh mengurangkan berlakunya rasuah.

Sebelum itu, Abdul Khalid telah menyampaikan taklimat kepada SPRM berkenaan keselamatan dan penguatkuasaan yang diambil Kerajaan Negeri menerusi Pasukan Khas yang diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ramli Mahmud.

Beliau telah menerangkan bahawa kecurian pasir gagal diatasi oleh kerajaan terdahulu kerana hanya menumpukan kepada tindakan penguatkuasaan tanpa melihat masalah tersebut dari aspek bekalan pasir kepada industri pembinaan.

Tiada ulasan: